MH Online

Laman Suara Rakyat

Gelembung Perjalanan Terus Ke Wilayah Status Hijau

Gelembung Perjalanan Terus Ke Wilayah Status Hijau

KUALA LUMPUR, Perbincangan dan kajian sedang dijalankan untuk membenarkan gelembung perjalanan atau ‘travel bubble’ secara langsung ke wilayah berstatus hijau dan bukan lagi tertumpu negara tertentu secara keseluruhan dalam usaha menghidupkan semula pelancongan antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pelaksanaan ‘travel bubble’ tidak akan menumpu terhadap sesebuah negara secara keseluruhan kerana terdapat wilayah tertentu yang didapati terjejas dengan penularan COVID-19.

Justeru, beliau berkata pihaknya secara berterusan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Luar bagi mengetahui keadaan semasa di negara berkenaan.

“Kita memang sudah kenal pasti negara yang dilabel zon hijau. Namun begitu, kita kena lihat secara realiti kerana kita lihat zon hijau sebagai sebuah negara tidak praktikal.

“Sekarang ini kita guna destinasi, tak lihat sudut negara. Seperti di Australia, kita lihat keseluruhan negara itu tidak dapat dilabel zon hijau keseluruhan kerana Melbourne baru terkena gelombang kedua. Jadi kita boleh lihat (gelembung perjalanan) antara Malaysia dengan Perth.

“Kita telah kenal pasti Australia dan New Zealand. Kalau kenal pasti dan kerjasama dengan mereka, mereka pun kena turut buka ruang dengan Malaysia. Itu dalam proses perancangan dan kajian kita tetapi sekali lagi ia tertakluk kepada negara berkenaan jika ia membuka ruang kepada kita,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya status pelaksanaan gelembung perjalanan antara Malaysia dengan negara luar yang berstatus hijau.

Menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), mengenai bantuan kepada pemandu pelancong yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19, Nancy berkata, ada kursus yang dianjurkan secara percuma untuk golongan berkenaan.

Jelasnya, program itu membabitkan permohonan lesen dan pembaharuan lesen pemandu pelancong.

“Mereka yang tergolong sebagai pemandu pelancong, terdapat program yang boleh mereka manfaatkan. Sebelum ini, mereka perlu menduduki satu program dengan harga RM50. Kalau mereka ambil sendiri , belum dapat lesen atau nak memperbaharui lesen, setahun kena bayar RM150 seorang untuk tiga program.

“Mereka perlu tiga program untuk dapat atau memperbaharui lesen. Secara keseluruhan, kita ada sembilan jenis program. Semasa PKP, kita anjur program ini secara percuma.

“Sembilan program ini bermula Mei hingga November, mereka boleh manfaatkan peruntukan itu dari kerajaan untuk tiga tahun,” katanya.