MH Online

Laman Suara Rakyat

Gelandangan Mahu Dikenali Sebagai ‘Wira Hijrah’

Gelandangan Mahu Dikenali Sebagai 'Wira Hijrah'

KUALA LUMPUR, Gelandangan di Kuala Lumpur mahu dikenali sebagai ‘Wira Hijrah’ (Warrior Hijrah).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata keputusan ‘menukar’ status berkenaan dibuat sendiri oleh golongan berkenaan kerana malu dengan nasib menimpa mereka selain persepsi buruk masyarakat.

Beliau turut memuji tindakan golongan itu malu dengan diri sendiri dengan bangkit berjuang bagi menukar nasib sendiri.

“Sekarang tak panggil lagi gelandangan. ‘Wira Hijrah’ atau (Warrior Hijrah), itu nama mereka pilih sendiri. Mereka tak bagi panggil gelandangan lagi. Bagus macam ini.

“Maknanya, mereka ada perasaan malu apabila ada orang panggil mereka gelandangan. Malu itu satu sifat baik. Sekarang jangan lagi panggil gelandangan. Mereka janji tak mau balik jadi gelandangan dan mahu dibantu untuk pemulihan.

“Sebabnya, mereka berjanji tak nak balik bergelandangan. Kita bimbang juga apabila bagi mereka makan, gemuk, sihat dan elok semua…balik semula gelandangan. Jadi, masalah Datuk Bandar pun tak selesai,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat tawaran permit sementara waktu terhad Perinah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kepada 97 penjaja di Setapak Indah di sini, hari ini

Mengulas mengenai penempatan gelandangan, Annuar berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menyiapkan asrama khas untuk golongan itu.

Beliau berkata, ia sebagai tempat khas menempatkan gelandangan kerana ketika ini mereka ditempatkan sementara di dewan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.

“DKL sedang menyiapkan asrama yang khusus kerana dewan itu perlu dipakai komuniti setempat kerana kita pinjam masa PKP sahaja.

“Jadi asrama itu boleh muatkan 300 orang dan pagi ini kita bincang kalau tak cukup lagi kita sedang tengok tempat yang terutama sekali nak asingkan gelandangan wanita daripada lelaki.

“Ini yang kita beri perhatian kepada gelandangan dan ia adalah proses berterusan serta sedang diambil tanggungjawab sukarela oleh DBKL,” katanya.