MH Online

Laman Suara Rakyat

Gapena Serah Memorandum Kepada Guan Eng

PUTRAJAYA, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bersama 60 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kewangan bagi menuntut kementerian itu mendaulatkan bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan.

Memorandum empat muka surat itu diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi, Suhaili Ahmad mewakili kementerian.

Ketua Dua Gapena, Amiruddin Md Ali berkata, memorandum itu sebagai menyatakan bantahan rasmi kepada kerajaan berhubung penggunaan bahasa lain selain bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan.

“Kami semua berpendapat, penggunaan bahasa selain bahasa Melayu dalam urusan rasmi kementerian jelas melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan kerana berdasarkan peruntukan tersebut,” katanya.

Terdahulu, kesemua pemimpin dan wakil NGO berkenaan menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra sebelum berarak sejauh satu kilometer ke kementerian itu.

Berdasarkan memorandum berkenaan, semua NGO berkenaan mendesak menteri kewangan, Lim Guan Eng dan kementerian kewangan menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi pentadbiran kerajaan.

Mereka mendesak Guan Eng menarik balik semua dokumen yang telah ditulis dalam bahasa Mandarin atau lain-lain bahasa sebagai dokumen rasmi kerajaan.

Mereka turut mendesak supaya menteri itu menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara.

Selain Amiruddin, memorandum itu ditandatangani Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tun Haniff Omar dan Setiausaha MPM Datuk Dr Hassan Mad yang turut sama hadir di kementerian itu.