Share on Facebook

PUTRAJAYA, Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) dijanjikan dengan pelbagai ganjaran termasuk bonus sebanyak setengah juta ringgit jika muncul juara dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika mengumumkannya berkata, insentif itu bertujuan menyuntik semangat pemain-pemain ‘The Cops’ untuk kembali semula bersaing di Liga Super musim depan selepas musim 2015.

“Malah bagi meningkatkan lagi keazaman pasukan, ketua jurulatih Zulhamizan Zakaria juga akan diberikan ganjaran sebanyak RM100,000 jika berjaya mencapai misi yang ditetapkan.

“Untuk musim ini, Timbalan Ketua Polis Negara ,Tan Sri Noor Rashid Ibrahim selaku Presiden PDRM FA juga akan dipastikan turun padang pada setiap aksi sama ada di tempat sendiri atau gelanggang lawan selain hadir menyaksikan sesi latihan,” katanya ketika melancarkan skuad dan jersi baharu PDRM FA bagi saingan Liga Perdana 2018 di sini malam tadi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata sasaran menjuarai Liga Perdana bukan asing kepada pasukan itu kerana pernah muncul juara pada musim 2007 dan 2014.

Katanya, walaupun sekadar menghuni tangga kelapan musim lalu, beliau yakin susunan dan formula yang bakal diterap Zulhamizan selaku bekas pemain negara dan Pahang, skuad itu mampu melakukan kejutan besar tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri turut meletakkan sasaran supaya skuad Sang Saka Biru itu muncul sebagai pasukan yang menggodol anugerah ‘Fair Play’ atas kapasiti imej kepolisan dalam pasukan itu sendiri.

Ahmad Zahid turut meletakkan ‘The Cops’ layak ke peringkat akhir Piala FA dan Piala Malaysia sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dilunaskan oleh pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan.

Berdasarkan kejayaan melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia pada 2016 dan suku akhir Piala FA, sasaran ini tidak mustahil untuk direalisasikan, katanya.

Selain memilih Zulhamizan bagi menggantikan Mohd Fauzi Pilus, skuad PDRM turut diperkuatkan dengan empat pemain import baharu iaitu Petrisor Voinea dari Romania, Argzim Redzovic (Montenegro), Sim Woon Sub (Korea Selatan) dan Shunsuke Nakatake (Jepun).

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *