Share on Facebook

KANGAR, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar ibu bapa, imam, jawatankuasa masjid dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah berganding bahu membendung isu ponteng sekolah dalam kalangan pelajar.

Menurut baginda pihak-pihak berkenaan wajar memainkan peranan dengan serius bagi menghapuskan isu ponteng sekolah ke arah melahirkan generasi baharu yang kuat jati diri dan berupaya menghadapi persaingan dalam dunia tanpa sempadan.

“Beta mahu semua pihak mengambil langkah dan tindakan proaktif malah hendaklah bertindak dengan terancang supaya matlamat kita tercapai.

“Kawasan-kawasan ‘hitam’ yang sering menjadi lokasi ponteng pelajar hendaklah dipantau habis-habisan secara bersepadu,” baginda bertitah merasmikan majlis penutup ‘Bengkel Insan Cemerlang, Rakyat Terbilang 2017’ di Masjid Al Ghufran, Jalan Kaki Bukit, malam tadi.

Keberangkatan baginda pada majlis itu disambut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Izmi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah isu ponteng dan hilang tumpuan kepada pelajaran akan menjadi ‘barah’ merosakkan generasi muda negara.

“Beta kerap terjumpa golongan yang tercicir ini semasa berangkat menyantuni asnaf di seluruh negeri ini (Perlis) untuk menyampaikan sumbangan MAIPs,” titah baginda.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *