Anggota gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membincangkan dengan teliti pakej yang ditawarkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi membangunkan bola sepak di negara ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pakej itu dibentangkan sendiri oleh Tunku Ismail dalam perbincangan dengan 16 anggota gabungan FAM di Melaka, Pada Rabu.

“Pada perbincangan itu, jelas Tunku sebutkan takkan jadi presiden (FAM) tetapi saya fikir (daripada) penerangan itu, Tunku nak bersama FAM tetapi jawatan itu menjadi kekangan setakat ini.

“Anggota gabungan (FAM) akan duduk balik berbincang sama ada kita terima pakej ini atau ada pilihan lain tetapi kalau nak perubahan dibawa Tunku, kita terima pakej ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan dengan terperinci kandungan pakej itu.

FAM mempunyai 19 anggota gabungan secara keseluruhannya dan menurut Mohd Yusoff, tiga anggota gabungan iaitu Pahang, PDRM dan Negeri Sembilan, tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Mohd Yusoff berkata anggota gabungan FAM juga akan berbincang sekiranya ada

cadangan lain untuk membangunkan bola sepak di negara ini dan mencari kata sepakat demi masa depan bola sepak negara.

“Siapa presiden tidak penting tetapi kehadiran Tunku bawa perubahan besar kepada struktur dan sistem pembangunan FAM. Mungkin juga faedah akan dinikmati ahli gabungan selepas ini,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu, Tunku Ismail menegaskan baginda ikhlas mahu membangunkan bola sepak negara.

Baginda bertitah tiada apa yang diperolehinya termasuk kepentingan politik atau wang dengan memegang jawatan dan kedudukan dalam FAM.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *