Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mengambil pendirian tegas bagi memastikan kepentingan pekerja dan ekonomi negara dilindungi bank-bank terlibat dalam proses penggabungan dan pengambialihan.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, ilitizam politik juga perlu untuk menentang pengaruh agenda neo-liberal yang terus-menerus menyebabkan 99 peratus masalah.

Mengulas laporan media minggu lalu yang memetik Standard & Poor’s Global Ratings (S&P), beliau berkata, MTUC dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dengan tegas mengecam langkah penggabungan dan pengambilalihan bank yang mengakibatkan, bukan sahaja masalah sosial seperti kehilangan pekerjaan, tetapi juga ekonomi dalam jangka panjang.

“S&P, dalam mewakili dunia korporat dan agenda neo-liberal yang sudah pun gagal, mempersoalkan iltizam politik dalam meneruskan cadangan penggabungan RHB-AMMB.

“S&P bercakap dari segi penyatuan dalam industri perbankan, dengan tanggapan mewujudkan organisasi bank yang lebih besar, baik untuk ekonomi. Bagaimanakah ini akan berlaku dan mengapa organisasi seperti S&P cuba mengelirukan rakyat Malaysia? Apakah agenda S&P?,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Bulan lalu, Solomon yang juga Setiausaha Agung NUBE berkata, pihaknya kecewa kerana penggabungan RHB Bank Berhad dan AMMB Holdings Berhad langsung tidak dibincang bersama kesatuan itu, sekali gus menggambarkan sikap tidak menghormati kepentingan pekerja.

Kata beliau, pengumuman penggabungan melibatkan kedua-dua bank terbabit bukan sahaja mengejutkan NUBE, malah pada masa yang sama mendedahkan sikap tidak hormat RHB Bank terhadap pekerjanya.

Dalam kenyataan hari ini, Solomon menjelaskan, krisis kewangan global 2008 telah mengajar negara ini beberapa perkara di mana saiz bank dan tingkah laku spekulatif palsu bank-bank terbabit yang merupakan penyebab utama krisis kewangan.

“Pada akhirnya pembayar cukai yang terpaksa menyelamatkan bank-bank besar dan ekonomi,” kata beliau.

Justeru soal beliau, sejauh mana kewujudan risiko seperti itu bagi ekonomi Malaysia dari segi penggabungan RHB-AMMB akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan ekonomi Malaysia.

Malah katanya, penggabungan akan memberi manfaat singkat kepada harga saham dan pampasan eksekutif.

Selain itu menurut beliau, organisasi-organisasi yang terlibat dalam proses penggabungan seperti firma perundingan juga akan mendapat faedah melalui bayaran besar yang mereka tetapkan.

“Sebaliknya, rakyat biasa Malaysia yang akan terjejas. Akan ada kehilangan pekerjaan dan pengangguran yang lebih tinggi, yang hanya akan mewujudkan isu struktur jangka panjang ke atas ekonomi Malaysia melalui pengurangan penggunaan dan permintaan,” tambah Solomon.

Kata beliau, S&P turut merujuk kepada unsur-unsur kesan negatif produk baru, yang dengan sendirinya adalah satu maklumat yang menarik kerana masalah ekonomi global boleh mengakibatkan kehilangan pengaruh pengguna.

Pengguna perlu mempunyai pilihan supaya produk-produk yang terbaik dapat memenuhi keperluan orang ramai, kata beliau.

“Dengan menyekat bilangan produk di pasaran, ia akan mewujudkan ketidakcekapan dan bertentangan dengan prinsip pasaran bebas yang mana organisasi seperti S&P menyokong atau menerima pakai.

“Organisasi seperti S&P tidak harus mengambil pendekatan kepentingan sendiri, sebaliknya harus bertindak mengutamakan kepentingan rakyat Malaysia dan ekonomi Malaysia,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *