Anda di sini!
Utama > Sukan > Gabriel Sedia Bukti Kemampuan

Gabriel Sedia Bukti Kemampuan

Gabriel Jesus membuktikan kemampuannya untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Sergio Aguero selepas dia menjaringkan dua gol bagi membantu Manchester City menewaskan Everton 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Aguero membantu City mencipta sejarah dengan gol kemenangan lewat permainan ketika menentang Queens Park Rangers pada tahun 2012 untuk gelaran Liga Perdana paling dramatik – tetapi penjaring terbanyak kelab itu tidak akan selama-lamanya bersama mereka.

Pemain berumur 31 tahun itu sudah lama menyatakan hasrat untuk kembali ke negara asalnya, Argentina bagi menamatkan kariernya dan mungkin akan mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak England apabila kontraknya berakhir pada tahun 2021.

Mencari pengganti bagi pemain kegemaran peminat kelab itu juga bukanlah mudah buat City, tetapi Jesus yang berasal dari Brazil mempamerkan persembahan mengagumkan setakat ini.

Pemain berusia 22 tahun itu menyertai City pada Januari 2017 dan walaupun permainannya terhad berdasarkan prestasi Aguero, Jesus dianggap antara yang palijng konsisten.

Dia terbabit dalam 69 gol sepanjang 75 penampilannya dalam kesebelasan utama Manchester City, meledak 53 gol dan melakukan 16 umpanan.

Jesus kelihatan sukar mencipta peluang pada babak kedua namun menemui sasaran pada minit ke-51. Tujuh minit kemudian, dia sekali lagi menjaringkan gol bagi memberikan pasukan kemenangan yang diperlukan.

“Dia masih muda, kita tak boleh lupa itu tetapi cara dia bertahan dan memberi tentangan adalah mengagumkan,” kata pengendali City, Pep Guardiola.

“Sudah tentu dia perlu perbaiki, dia tahu itu. Biarpun begitu, dia menjadi lebih baik dan lebih baik.” – REUTERS

Leave a Reply

Top