Anda di sini!
Utama > Hiburan > Fikri Tunggang Jet Ski Dari Langkawi Ke Kelantan

Fikri Tunggang Jet Ski Dari Langkawi Ke Kelantan

Pelbagai cara boleh digunakan untuk mencipta nama, namun pelakon Cekelat Semanis Honey, Fikry Ibrahim berpendapat ramai golongan muda menggunakan cara kurang bijak bagi meraih populariti.

Justeru, bagi membuka mata golongan muda, lelaki kelahiran Jitra, Kedah itu mahu melakarkan namanya dalam Malaysia Book Of Records dengan menunggang jet ski dari Langkawi ke Kelantan. Kemudiannya, kembali ke negeri berkenaan dengan pemanduan sejauh 3,000 kilometer bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Sebenarnya saya mahu mencabar diri, sejauh mana boleh memanfaatkan perkara yang diminati. Secara tidak langsung, saya mahu membuka mata golongan muda banyak cara berfaedah yang boleh dilakukan untuk menjadi popular.

“Bagaimanapun, ramai yang cuba menjadi pandai dan ingin dilihat bijak dalam media sosial dengan cara tidak betul. Akhirnya mereka kelihatan kurang bijak, jadi saya ingin menunjukkan salah satu cara aktiviti yang boleh mencipta nama dengan cara yang lebih bermanfaat,” katanya yang menceburi sukan jet ski sejak setahun lalu.

Fikry berkata, dia mempunyai pelbagai hobi termasuklah perlumbaan motosikal dan kereta, tetapi cepat bosan, di tambah pula risiko kemalangan. Bagaimanapun, niat untuk mencuba sukan jet ski akhirnya membawa kepada sesuatu yang bermanfaat.

“Saya mula terfikir apa lagi yang boleh dilakukan menerusi sukan jet ski selepas setahun bermain secara suka-suka dan pernah menyertai beberapa perlumbaan. Kenapa tidak saya melakukan sesuatu untuk negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Jadi, saya membuat keputusan mencipta nama dalam Malaysia Book Of Records dengan memandu jet ski dari Langkawi ke Kelantan. Saya akan kembali semula ke sana dalam tempoh antara 10 hingga 12 hari. Ini adalah salah satu sumbangan saya untuk negara.

“Sebagai rakyat, jangan tanya apa negara buat kepada kita tetapi sepatutnya tanya apa sumbangan untuk negara,” katanya yang kini gigih berlatih bagi persiapan untuk acara yang dijangka berlangsung pada Julai depan.

Katanya, dia kini terpaksa memperlahankan kerjaya seni memandangkan sibuk dengan persiapan untuk rekod yang bakal dicipta.

“Saya juga sibuk menguruskan perniagaan berasaskan aplikasi penghantaran makanan dan platform masakan dari rumah pertama, Go Eat.

“Buat pertama kali, saya akan membintangi filem selepas empat tahun bergelar anak seni. Penggambaran filem dijadualkan bermula pada Februari ini.

“Jadi, saya terpaksa memperlahankan aktiviti seni bagi memberikan tumpuan pada persiapan melakar nama dalam Malaysia Book of Records dan perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan bermakna akan meninggalkan kerjaya lakonan.

“Saya masih sayang dan meminati bidang lakonan, tidak mungkin akan meninggalkannya sedangkan nama saya masih hijau dalam industri hiburan,” katanya.

Leave a Reply

Top