Anda di sini!
Utama > Sukan > FIFA Cadang Perkenal Had Gaji Maksimum

FIFA Cadang Perkenal Had Gaji Maksimum

Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mengakui had gaji maksimum mungkin diperlukan sebagai penstrukturan kewangan bola sepak yang terjejas kerana COVID-19.

Penggantungan perlawanan, kekangan kepada liga dan ketiadaan penyokong akan menjejaskan pendapatan semua pasukan dan Infantino beranggapan inilah masanya mereka bermuhasabah diri.

Selepas menjemput ahli gabungan mengemukakan langkah yang wajar untuk memandang ke depan, Infantino melihat keperluan terhadap peraturan kewangan yang lebih jelas dan ketat.

“Saya mendengar cadangan menarik membabitkan pelbagai topik. Antaranya hak gaji maksimum dan had yuran perpindahan serta mekanisme percukaian sehinggalah kepada cadangan setiap badan induk untuk menyumbang kepada dana simpanan bagi membantu pasukan.

“FIFA sudah melaksanakan pelbagai perkara dalam aspek ini walaupun ada pihak yang tidak bersetuju. Langkah, projek dan idea ini perlu dibincangkan di semua peringkat.

“Saya tahu perkara sebegini akan menimbulkan perdebatan tetapi ia perlu dibincangkan di mana kita perlu bersama dalam waktu sukar ini.”

Dengan kebanyakan pasukan mahu FIFA bertanggungjawab ke atas permintaan yang melampau terhadap pemain mereka, agihan sama rata tetap ditagih apatah lagi realiti ketika ini menyaksikan banyak pasukan berdepan kedudukan kewangan yang tidak stabil.

Had gaji maksimum mungkin akan memberikan masalah namun ia tampak menjadi cadangan yang baik dengan situasi semasa selepas melihat Tottenham terpaksa mengambil pinjaman bank sebanyak 175 juta pound (RM945 juta) susulan pembatalan banyak acara di stadium terbaharu mereka.

“Keperluan untuk membantu pasukan besar pasti menjadi keutamaan tetapi kita juga perlu melihat pasukan kebangsaan, bola sepak wanita, liga domestik kecil dan pembangunan pemain muda.

“Kita perlu menunjukkan semangat bersatu padu merentasi semua aspek bola sepak,” katanya. -Agensi

Leave a Reply

Top