Anda di sini!
Utama > Ekonomi > FGV Teroka Potensi Kerjasama Sawit Dan Gula

FGV Teroka Potensi Kerjasama Sawit Dan Gula

KUALA LUMPUR, FGV Holdings Bhd sedang meneroka potensi membentuk kerjasama dalam industri gula dan sawit, bagi kedua-dua sektor hiliran serta huluan.

Syarikat perladangan itu dalam kenyataannya berkata, potensi kerjasama itu termasuklah membentuk pakatan strategik.

FGV, sebelum ini katanya telah mengumumkan bahawa ia sedang mengusahakan pelan transformasinya yang antara lain termasuk menyemak semula perniagaannya yang berprestasi rendah atau tidak menguntungkan, khususnya membabitkan pelaburan yang diwariskan.

“Terdapat beberapa inisiatif yang sedang dijalankan dan di berada dalam pelbagai peringkat semakan serta pelaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia, semalam.

Kenyataan dikeluarkan bagi menjelaskan laporan sebuah akhbar perniagaan yang mengatakan FGV sedang berunding dengan beberapa pihak, termasuk peserta industri gula antarabangsa, untuk melupuskan sebahagian 51 peratus kepentingan strategiknya dalam pengeluar gula, MSM Malaysia Holdings Bhd.

Laporan memetik sumber itu berkata, terdapat sekurang-kurangnya empat syarikat yang meninjau mendapatkan blok saham terbabit.

Satu daripada syarikat itu, kata sumber berkenaan, adalah JAG Capital Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pegangan pelaburan yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Syarikat lain adalah Wilmar International Ltd, firma perniagaan agro Singapura yang dimiliki Kuok Group; sebuah syarikat Indonesia yang tidak dinamakan dan sebuah syarikat China yang turut tidak dinamakan.

FGV berkata, sejak kilang penapisan MSM di Johor mula beroperasi tahun ini, kapasiti pemprosesannya meningkat kepada 2.2 juta tan, sekali gus membolehkan syarikat memenuhi keperluan domestik serta peluang baharu dalam pasaran eksport.

Oleh yang demikian, ia berkata FGV dan MSM meneroka semua peluang yang ada untuk memasuki pasaran serantau dan antarabangsa.

“Perbincangan masih lagi di peringkat awal. FGV dan MSM akan membuat pengumuman berkaitan pada masa yang sesuai jika ada perkembangan material berhubung perkara ini,” katanya.

Leave a Reply

Top