Agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, FELCRA Berhad menandatangani perjanjian persefahaman dengan tiga entiti baharu bagi memperkukuhkan kerjasama strategik bermula tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kolaborasi itu bagi membantu FELCRA  mencapai objektif dan strategi operasinya yang seimbang.

Tiga entiti yang terlibat ialah Sime Darby Plantation Sdn Bhd untuk pemerkasaan dalam bidang perladangan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pembangunan modal insan dan pendidikan tinggi generasi kedua serta Universiti Malaysia Perlis, UniMAP Holdings, dalam projek tanaman mangga harumanis.

“Kerjasama ini adalah selaras dengan Strategi Lautan Biru (NBOS) kerana FELCRA percaya kolaborasi dengan pihak-pihak tertentu perlu diadakan secara rasmi dan profesional bagi mencapai maksud yang menguntungkan kedua-dua belah pihak,” katanya ketika merasmikan Sambutan 50 tahun FELCRA di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam kerjasama bersama PTPTN, FELCRA Berhad akan menyediakan peruntukan berjumlah RM20 juta bagi tempoh 10 tahun atau RM2 juta setahun.

“Dengan peruntukan ini, seramai 500 pelajar berpeluang menerima bantuan ini pada setiap tahun sepanjang tempoh kolaborasi berlangsung,” katanya.

Selain itu, dalam projek tanaman mangga harumanis pula, Perdana Menteri berkata, FELCRA akan mengaplikasikan sepenuhnya kaedah teknologi Rumah Hijau.

“Kerjasama dengan UniMAP Holdings juga bukan hanya bertindak sebagai pindahan teknologi, tetapi universiti itu juga bertindak sebagai ejen pemasaran bagi projek ini,” katanya.

Menurutnya, sebagai permulaan, sebanyak 13 Rumah Hijau akan dibina di Projek Lubuk Sireh, Perlis.

“FELCRA telah menyediakan RM5 juta sebagai dana pembangunan dan bagi kerja-kerja penyediaan tapak projek serta pembinaan 13 Rumah Hijau,” katanya.

Najib juga mengumumkan FELCRA akan terlibat secara langsung dan menjadi peneraju dalam soal keselamatan makanan.

“FELCRA amat serius dalam hal ini kerana belum ada pihak yang menangani senario ini secara profesional demi kepentingan perbekalan makanan halal negara,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman itu diwakili Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Zulkarnain Md Eusope, manakala Sime Darby Plantation diwakili Ketua Upstream Malaysia, Mohamad Nageeb Ahmad Abdul Wahab; UniMAP Holdings oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Baharudin Abdul Majid dan PTPTN oleh Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *