MH Online

Laman Suara Rakyat

Felcra Gesa Kakitangan Main Peranan Tangkis Fitnah

Lembaga Kemajuan Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (Felcra) menggesa pegawai, kakitangan dan pegawai serantanya memainkan peranan bagi menangkis segala berita palsu di media sosial terutamanya yang memburukkan kerajaan.

Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bong Moktar Radin berkata, walaupun sebahagian besar kakitangan agensi itu sibuk dengan tugasan  di peringkat kawasan dan tanah rancangan, namun mereka tidak terlepas daripada tanggungjawab menangkis pembohongan dan fitnah.

Beliau berkata, pegawai Seranta perlu turun padang  memberitahu rakyat terutamanya para peserta Felcra tentang usaha dilakukan kerajaan melalui Felcra dalam membela nasib dan masa depan rakyat.

“Penyebaran berita tidak berasas tidak boleh dibiarkan sama sekali dan ia perlu dijawab dan dinafikan. Jika kita berdiam, rakyat akan beranggapan ia benar.

“Pegawai dan kakitangan Felcra serta  Pegawai Seranta merupakan individu yang layak menyampaikan segala maklumat kerajaan terutama pegawai dan kakitangan di peringkat tanah rancangan. Ini kerana mereka merupakan orang yang paling hampir dengan masyarakat luar bandar dan akar umbi,” katanya.

Beliau berucap pada perjumpaan dengan pegawai, kakitangan dan peserta Felcra di majlis anjuran Seranta Felcra Rumpun Makmur, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felcra, Zulkarnain Mohd Yusof  dan Pengurus Besar Felcra Pahang Datuk Mutalib Tais.

Dalam pada itu beliau berkata, Felcra mempunyai pegawai dan kakitangan terlatih mampu menguruskan pembukaan tanah terutamanya tanah terbiar di mana sehingga ini lebih 220,000 hektar tanah telah dimajukan agensi tersebut, termasuk Sabah dan di Sarawak.

Menurutnya, Felcra bukan sahaja berjaya  membangunkan tanah dan bidang pertanian, malah kini mengorak langkah di bidang harta tanah, termasuk perumahan bagi memberi peluang kepada rakyat terutamanya  golongan muda memiliki kediaman sendiri.

Sehubungan itu beliau menggesa kakitangan dan para peserta supaya bekerjasama antara satu sama lain dengan mengatasi segala masalah secara bertolak ansur dan di meja perundingan.

“Felcra bersedia mendengar apa juga masalah peserta dan berkongsi maklumat demi kebaikan bersama kerana asas penubuhan Felcra adalah bagi membantu rakyat terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.