Nur Fazura teruja bakal berduet dengan penyanyi antarabangsa yang menjadi idolanya selama ini, tidak lama lagi.

Pelakon dan penyanyi itu memberitahu media, projek duet itu sudah disahkan dan mereka sedang menunggu tarikh sesuai untuk memasuki studio rakaman.

Bagaimanapun, Fazura enggan mendedahkan identiti penyanyi berkenaan.

“Saya sangat teruja apabila seorang penyanyi antarabangsa mahu berduet dengan saya. Cuma saya tidak boleh dedahkan siapa gerangannya.

“Semua ini adalah hasil kerja keras saya yang banyak membuat latihan. Ini juga ‘pahala’ yang saya dapat daripada kritikan netizen hingga saya diberi rezeki pergi jauh,” selorohnya.

Lebih mengujakan, tambah Fazura, bukan seorang, sebaliknya beberapa penyanyi antarabangsa lain dijangka menjalin kerjasama dengannya dalam projek lagu.

Ditanya mengenai penerimaan peminat di Indonesia, Fazura yang bakal melancarkan album, tidak lama lagi, bersyukur dengan tumpuan diterima.

Kata pelakon filem J Revolusi itu, sejak terbabit dengan program Facing Up With Fazura melalui saluran E Asia, dia mendapat pelbagai tawaran kerja dari beberapa negara.

“Alhamdulillah, Allah bukakan jalan rezeki saya. Antara negara itu adalah Filipina dan Indonesia. Nampaknya, peminat di Indonesia mula menerima kehadiran saya dalam industri perfileman di negara itu.

“Dalam teruja, saya juga berdebar dan memikirkan bagaimana saya perlu membawa diri. Iyalah, apabila mewakili nama negara, mestilah buat bersungguh-sungguh,” katanya.

Setakat ini, Fazura sudah bekerjasama dengan produksi Indonesia melalui filem Rafathar The Movie, Bulan Terbelah Di Langit dan Qarkop FKI Reborn: Jangkrik Boss!! Part 2.

Terbaharu, Fazura sedang menjalani penggambaran filem Ayat-Ayat Cinta 2.

-BH Online-

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *