Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, 39, melakar sejarah tersendiri apabila mengharumkan nama negara dengan pengiktirafan anugerah Alumni Paling Cemerlang sempena Majlis Gala Alumni Le Cordon Bleu di kampus institut terbabit di Paris, Isnin lalu.

Anak jati Negeri Sembilan itu ialah seorang daripada bekas graduan institut berkenaan dengan mengambil jurusan Diploma de Patisserie pada 2013 dan Hautes Etudes du Gout (2016).

Selain Fazley, tiga graduan lain yang turut tersenarai dalam kategori sama ialah Ye Daniel dari China (Diploma de Cuisine, 2008), Aaron Isip (Diploma de Cuisine, 2005 / Filipina) dan Shu Pin Sandra Yu (Grand Diplome, 2008 / Taiwan).

Pemilihan empat calon berkenaan disenarai pendek daripada semua nama yang dicalonkan sehinggalah Fazley berada dalam lima senarai akhir.

Seterusnya, peringkat saringan dijalankan dengan menyenarai dua alumni terbaik, sekali gus kemenangan berpihak kepada bapa kepada tiga cahaya mata itu apabila diumumkan sebagai pemenang utama.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pengiktirafan ini. Segala usaha saya selama ini menampakkan hasil yang sangat bermakna.

“Menariknya, anugerah ini didedikasikan khas kepada bekas graduan Le Cordon Bleu yang meraih kepelbagaian pencapaian cemerlang dalam dunia kulinari, keberkesanan berkongsi ilmu menerusi dunia itu serta mendapat liputan media paling efektif menerusi karier masing-masing selepas menamatkan pengajian di institut terbabit,” katanya.

Berita gembira berkenaan diumumkan pada majlis perlantikan Fazley sebagai duta Jaya Grocer di The Starling Mall, dekat sini, pada Rabu.

Pemilihan bagi anugerah itu diadili empat juri khas; Cef Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Seni Kulinari Le Cordon Bleu Paris, Eric Briffard; Cef Pastri Terbaik Perancis 2015, Jerome Chaucesse; Cef Eksekutif Restoran Laurent dan Cef Michellin Star, Alain Pegouret; dan Pengarah Sommelier Hotel Ternama di Paris, Estelle Touzet.

Selain pengiktirafan Alumni Paling Cemerlang, dua lagi anugerah yang turut dipertandingkan pada majlis sama ialah The Best Alumnus Concept dan The Most Successful Entrepreneur.

Inilah anugerah sedemikian yang pertama diperkenalkan dalam sejarah Le Cordon Bleu.

Le Cordon Bleu ialah institut seni kulinari dan pengurusan hotel terbaik sejak 1985 dengan pembabitan kira-kira 20,000 pelajar dari 100 negara setiap tahun.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *