MH Online

Laman Suara Rakyat

Fatin Gembira Dengan Kehidupan Sekarang

Fatin Gembira Dengan Kehidupan Sekarang

Pelakon kontroversi, Fatin Afeefa, 26, tidak berminat untuk kembali berumah tangga, buat masa ini. Baginya, perkahwinan menuntut pengorbanan.

Sungguhpun bergelar ibu tunggal kepada dua cahaya mata yang masih kecil tanggungjawab berat yang harus dipikul, namun Fatin gembira dengan kehidupan solo kerana dapat memberi sepenuh perhatian terhadap kerjaya dan anak.

“Buat masa ini, saya tak berminat mahu mendirikan rumah tangga. Saya gembira dengan kehidupan hari ini kerana dapat fokus kepada kerja dan keluarga. Sekiranya berkahwin semula, saya kena fikir soal keperluan suami, makan minum dan kelengkapan. Jadi, buat masa ini, saya gembira hidup sendiri.

“Ramai peminat menyuruh saya berkahwin, tetapi saya tak akan berkahwin untuk memuaskan hati orang. Jika bahagia tidak mengapa. Kalau merana, saya juga yang tanggung nanti. Jadi, tak perlulah saya mengikut kehendak sesiapa,” katanya yang ditemui pada majlis pelantikan sebagai duta produk selipar, Havaianas.

Fatin atau nama sebenarnya, Fatin Nur Afifah Shamsudin berkata, kehidupannya kini sudah lengkap dengan kehadiran sepasang cahaya mata, Adam Aisy Arrian dan Ivy Herra Sophia.

Justeru, katanya, dia enggan menambahkan sakit kepala sekiranya dikurniakan zuriat lagi. Bagaimanapun, ia mungkin hanya akan difikirkan semula apabila usia mencecah usia 35 tahun.

Jelas Fatin, dia tidak akan berkahwin semata-mata untuk menepis gosip yang dikaitkan dengannya.

“Prinsip hidup, tak perlu fikir apa orang nak cakap. Saya tak tidak perlukan lelaki dalam hidup. Walau tanpa kehadiran lelaki sekali pun, saya masih mampu menikmati kemewahan dengan cara tersendiri.

“Jangan dekati saya kerana tak suka orang mendekati. Jika ada yang mengatakan saya ‘high maintenance’, saya tidak suruh pun orang jaga saya.

“Saya hidup mewah sebab saya bekerja. Saya mempunyai beberapa kontrak jangka masa panjang, jadi apa alasan tidak mampu pakai apa yang ingin dipakai? Saya mampu dan saya tak perlukan lelaki tanggung saya,” katanya.

Pelakon drama Kekasih Paksa Rela dan Cindai itu berkata, dia sentiasa berjimat cermat untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan.

“Sebelum membeli sesuatu, saya ukur baju di badan sendiri. Jika mampu, saya beli tetapi, tidaklah semua benda mampu dimiliki. Katakan saya mahu beg tangan, saya akan kumpul duit menerusi dua tiga projek kerja yang dibuat. Ada duit lebih, saya akan simpan.

“Jika ada pihak yang sangsi dengan kemewahan yang dimiliki, saya boleh mengemukakan resit pembelian,” katanya yang pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Juvana, Adam Shahz pada 2013, sebelum berpisah kira-kira empat tahun lalu.

BHONLINE