KUALA LUMPUR, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menganjurkan ‘Farmer’s Market’ bagi menggalakkan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti tersebut.

Selain pelancaran rasmi UniKL Farmer’s Market, program berkonsepkan pasar tani yang diadakan setiap Jumaat itu di Kampus Kota di sini, FAMA turut melancarkan Program Jimat Belanja Dapur (JBD) di universiti itu pada jumaat.

Inisiatif itu bertujuan menyediakan platform kepada pelajar di bawah program pembangunan keusahawanan dengan usaha sama FAMA untuk terlibat dalam perniagaan bagi memperoleh pengalaman praktikal dan kemahiran keusahawanan.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak melancarkan program berkenaan yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

“Sejak Program Keusahawanan Chillax My Agrosis dan Mybestbuy pada November tahun lepas, konsep pasar tani yang dikenali sebagai UniKL Farmer’s Market telah diperkenalkan dan diadakan setiap Jumaat di sini. Tujuannya adalah untuk memberi ruang kepada para pelajar kita belajar berniaga,” kata Prof Mazliham.

UniKL Farmer’s Market yang melibatkan 20 peserta dan lima trak makanan mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan pelajar dan pekerja UniKL tetapi juga penduduk setempat.

Terdapat 14 tapak pasar tani di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan nilai purata jualan keseluruhan berjumlah RM4.12 juta sebulan dan melibatkan 1,200 peserta.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *