Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > FAMA Sumbang 5 Tan Sayur & Buah

FAMA Sumbang 5 Tan Sayur & Buah

KUALA LUMPUR, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyumbangkan lima tan bekalan sayuran dan buah-buahan kepada 10 lokasi Central Kitchen di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata sumbangan bekalan makanan itu dapat memberi manfaat kepada 1,357 individu.

“Ini adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) FAMA. Setiap lokasi Central Kitchen akan menerima 500 kilogram (kg) bekalan sayuran dan buah-buahan,” katanya kepada media selepas Program Sumbangan Kepada Central Kitchen di bawah JKM dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Antara lokasi Central Kitchen terbabit adalah Asrama Sentosa, Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi (Kanak-kanak) dan Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah.

Kiandee berkata, FAMA turut bekerjasama dengan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura memberi sumbangan berupa produk makanan kering keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana kepada 150 rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura dalam tempoh PKP.

Sepanjang tempoh PKP, katanya, FAMA melaksanakan 43 CSR di seluruh Malaysia dan sumbangan diedarkan kepada golongan kurang berkemampuan seperti rumah kebajikan, persatuan, penduduk kampung dan barisan hadapan seperti polis.

Dalam pada itu, Kiandee berkata 53 outlet FAMA di seluruh Malaysia mencatat nilai jualan sebanyak RM65.49 juta dalam tempoh 1 April hingga semalam.

Leave a Reply

Top