MH Online

Laman Suara Rakyat

Fahami Tanggungjawab Sebagai Rakyat

Fahami Tanggungjawab Sebagai Rakyat

PUTRAJAYA, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berperanan memberikan kefahaman supaya rakyat memahami tanggungjawab masing-masing dengan memberikan kerjasama kepada kerajaan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Timbalan menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata selain itu penerangan juga diberikan kepada masyarakat supaya menjaga kebersihan dan kesihatan dalam mengawal penularan wabak itu.

“Kalau rakyat ikut arahan dua minggu (PKP) bermakna kita boleh menghentikan rantaian ini (COVID-19) dan juga boleh menghentikan PKP ini supaya boleh hidup seperti biasa balik.

“Tetapi ada di antara kita tidak memberi kerjasama, ini akan menyukarkan ramai orang,” dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata setakat hari ini, dari segi kawalan, Malaysia adalah antara yang terbaik berbanding negara lain dan menyasarkan untuk menghapuskan jangkitan wabak itu.

Zahidi turut memberi nasihat kepada warga KKMM barisan hadapan termasuk Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) supaya menjaga kesihatan dan kebersihan diri semasa menjalankan tugas di lapangan.

“Nasihat saya kepada warga KKMM (barisan hadapan) supaya sentiasa menjaga kesihatan diri, keluarga dan jiran-jiran seperti kawal jarak, pakai penutup hidung dan mulut, kerap basuh tangan dan cecair basmi kuman,” katanya.

Beliau berkata seramai 26 kakitangan KKMM yang dikategorikan sebagai golongan berpendapatan rendah (B40) menerima sumbangan barangan makanan seperti beras dan minyak bagi meringankan beban mereka yang terkesan khususnya dalam PKP fasa ketiga ini.