Anda di sini!
Utama > Sukan > Everton Pilih Ancelotti

Everton Pilih Ancelotti

Everton melantik Carlo Ancelotti sebagai pengurus baharu kelab itu, hari ini dengan perjanjian empat tahun setengah.

Ancelotti, 60, dijadual hadir pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Arsenal, hari ini, namun hanya akan memulakan tugas pada perlawanan berdepan Burnley, pada Khamis.

Beliau yang pernah tiga kali merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara dipecat Napoli awal bulan ini.

Ancelotti mempunyai latar belakang yang baik bersama kelab utama Eropah termasuk Juventus, AC Milan, Chelsea, Paris Saint-Germain, Real Madrid dan Bayern Munich.

Kehadiran beliau bagi memperbaiki prestasi semasa skuad Toffees, yang menduduki tangga ke-16 dalam EPL hanya tiga mata di atas zon penyingkiran.

“Ini kelab yang hebat dengan penuh sejarah dan peminat yang sangat mengagumkan,” kata Ancelotti. “Visi yang jelas dari pemilik dan lembaga pengarah untuk menghadirkan kejayaan dan trofi.

“Ia menarik perhatian saya sebagai pengurus dan saya gembira dapat bekerja dengan semua orang di kelab untuk membantu menjadikan visi itu realiti.”

Pengurus sementara, Duncan Ferguson yang mengendalikan pasukan berdepan Arsenal, akan menjadi sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan Ancelotti selepas skuad itu mencatat keputusan baik dengan menewaskan Chelsea dan mengikat Manchester United dalam aksi liga sebelum ini.

“Saya sudah melihat persembahan (pasukan) dalam dalam dua minggu terakhir dan pemain memiliki kemampuan yang tinggi,” kata Ancelotti.

“Duncan harus diberikan pujian atas kerja yang dilakukan. Organisasi yang mantap, disiplin yang tinggi dan motivasi yang tepat adalah antara perkara utama dalam bola sepak dan saya gembira kerana dia akan menjadi sebahagian daripada pasukan.” – AFP

Leave a Reply

Top