Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ETS Perkenal Tempahan Makanan Dalam Talian

ETS Perkenal Tempahan Makanan Dalam Talian

KUALA LUMPUR, Pilihan pembelian makanan melalui tempahan awal secara  dalam talian seperti yang dilakukan oleh syarikat penerbangan bakal dilaksanakan dalam  Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata dengan adanya kemudahan itu, ia akan meningkatkan mutu perkhidmatan ETS setaraf dengan piawaian antarabangsa.

“Perkhidmatan  katering yang disediakan di dalam ETS meskipun berasaskan makanan beku tetapi enak malah ia turut dijual dengan harga berpatutan,” katanya dalam catatan terbaru di Facebook beliau pada isnin.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan kerja ke KL Sentral bagi melihat sendiri perkhidmatan ETS Tanjung Malim-KL Sentral bersama Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Rani Hisham Samsudin dan Pengurus Besar Perbadanan Aset Keretapi Dr Kang Tong Hum.

“Saya berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh ETS ini yang membawa purata seramai 11,500 penumpang dalam tempoh sehari dan terdapat 76 perjalanan dalam tempoh seminggu,” katanya.

Ab Aziz berkata kadar ketepatan waktu juga berada pada tahap baik iaitu 90 peratus dan beliau berharap kadar ketepatan itu boleh diperbaiki lagi sehingga mencapai sekurang-kurangnya 95 peratus.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada KTMB kerana berjaya menyediakan perkhidmatan ETS sejajar hasrat Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan perkhidmatan pengangkutan awam negara terus berkembang pesat selain menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Top