Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ensiklopedia Dokumentasikan Perjuangan UMNO

Ensiklopedia Dokumentasikan Perjuangan UMNO

KUALA LUMPUR, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa penulisan Ensiklopedia UMNO diusaha untuk diterbitkan bagi mendokumentasikan era perjuangan kemerdekaan hinggalah kepada era kepembangkangan UMNO hari ini.

Katanya, perjuangan UMNO boleh dibahagikan kepada tiga era iaitu era memperjuangkan kemerdekaan, era membangunkan negara dan juga era selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu yang disebut sebagai era ‘kepembangkangan’.

“Era pertama waktu UMNO memperjuangkan kemerdekaan. Ianya terwujud dari penyatuan NGO pelbagai persatuan mengikut pelbagai suku kaum rumpun yang mengenepikan perbezaan demi rumpun Melayu untuk tubuhkan UMNO.

“Perjuangan kemerdekaan itu dibuat tetapi ada cubaan penulisan kononnya kerajaan hari ini mahu mengangkat bahawa komunis sebahagian daripada pejuang kemerdekaan dan Chin Peng sebagai wira.

“Kenapa selepas kita merdeka mereka tak menyerah diri dan kenapa mereka menentang pembentukan Malaysia. Ini menunjukkan tidak ada sebarang sumbangan dari Parti Komunis Malaya untuk perjuangan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Penulisan Ensiklopedia UMNO yang berlangsung hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menyaksikan perjanjian persefahaman ditandatangani oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan juga Sejarawan ulung, Prof. Datuk Dr Ramlah Adam

Jelas, ketika Deklerasi Hatyai ada usaha mahu dibawa balik abu mayat Chin Peng tapi ketika itu Menteri Dalam Negeri yang kebetulan adalah beliau menentangnya.

“Saya bawakan keputusan penolakan mahkamah di Pulau Pinang yang mahu disemadikan abunya di Setiawan dan mahu mendirikan tugu peringatan bernama Chin Peng.
Ketika itu yang menjadi peguam kepada Chin Peng adalah Tommy Thomas iaitu Peguam Negara sekarang.

“Apabila perkara itu dibawa ke jemaah menteri maka diputuskan mayat Chin Peng tidak pernah diizinkan untuk dibawa ke Malaysia, tapi kerana peguam itu sekarang adalah Peguam Negara maka saya terpaksa ‘membayar’ kepada 87 pertuduhan hari ini.”

Terang beliau, era kedua UMNO bermula 1957 – 9 Mei 2018 iaitu daripada Rancangan Malaysia Pertama hingga Rancangan Malaysia Kesebelas.

“UMNOlah yang merancang pembangunan negara. Itu sumbangan terbesar UMNO untuk membangunkan negara. Ada dasar untuk agenda negara tanpa melupakan kepada soal keindukan negara.

“Malaysia adalah negara masyarakat majmuk, pelbagai etnik dan latar agama, budaya berbeza, tanpa mengenepikan bangsa-bangsa lain dan kita dapat lihat untuk mengisi kemerdekaan itu lebih sukar tapi masyarakat sering melupakan sumbangan UMNO pada waktu itu kerana apabila kita kalah, sejarah mahu dihapuskan atas nama Malaysian Malaysia.

“Apa yang diperjuangkan oleh UMNO adalah kesaksamaan dan bukan kesamarataan, namun keadilan dilakukan dengan kesaksamaan ini tapi tempoh yang panjang itu mahu dilupakan apabila kita hilang kuasa,” bidasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Seterusnya beliau memaklumkan era ketiga iaitu apabila UMNO hilang kuasa dan menjadi pembangkang.

“Apabila UMNO jadi pembangkang secara drastik kerajaan sekarang ini telah memadamkan bukan hanya sejarah tapi sumbangan UMNO dan dasar-dasar yang dilakukan UMNO dalam pembangunan.

“Maka usaha kita perlu lakukan untuk pastikan 18 bulan ini berakhir dengan segera tanpa tunggu 18 tahun. Dalam era 18 bulan ini kita tak ada pengalaman sebagai pembangkang sebagaimana kita tak ada pengalaman memperjuangkan kemerdekaan tapi kita yakin akan beroleh kejayaan.”

Katanya, apa yang penting adalah bagaimana nak menghidupkan UMNO pada era yang baru.

“Perubahan yang luar biasa apabila kita menghadapi suasana yang luar biasa, jadi jangan biarkan saya seorang. Saya mahu perasaan untuk membangkit dan menghidupkan semula UMNO. Cukuplah pada era ketiga ini kita menjadi pembangkang.

“Sesama kita janganlah menjadi seperti seladang yang bertanduk panjang tapi saling menanduk sesama sendiri sedangkan apabila harimau menyerang tak mampu mempertahankan diri atau jadi seperti ketam yang saling memijak untuk naik ke atas dan akhirnya semua mati begitu saja.

“Dalam era kepembangkangan ini hanya sekejap, insya-Allah dalam PRU15 kita akan berada semula di Putrajaya.”

Turut hadir dalam majlis tersebut, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Leave a Reply

Top