MH Online

Laman Suara Rakyat

Elok Nik Amar Ramal Nasib PAS

Elok Nik Amar Ramal Nasib PAS

KOTA BHARU, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa membidas ‘ramalan’ Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berhubung nasib Kerajaan Persekutuan lima tahun akan datang.

Husam berkata, lebih baik Mohd Amar membuat ramalan nasib PAS sama ada dapat menjadi kerajaan lima tahun akan datang atau tidak.

“Pada pendapat saya beliau ramal nasib PAS dahulu bukan nasib PH kerana banyak ramalan yang tak menjadi.

“Dia (Mohd Amar) ramal PH, tetapi PH jadi kerajaan. Adakah PAS akan jadi kerajaan?” katanya dalam sidang media di Pejabat Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, tuduhan PH menipu adalah satu tuduhan yang amat berat kerana tidak semestinya apa yang kerajaan belum laksanakan itu satu penipuan.

“Beliau (Mohd Amar) tak lihat tentang apa yang kerajaan dah buat contohnya pembongkaran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Tabung Haji (TH).

“Kalau harap PAS sampai sekarang rakyat tak tahu dan mungkin bersekongkol dengan BN tentang 1MDB dan TH. PAS masih tak boleh terima hakikat TH bayar dividen lebih besar daripada aset,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, tidak mustahil pentadbiran Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan tumbang dalam masa lima tahun ini.

Katanya, hal ini disebabkan PH sedang menghadapi pergolakan dalaman yang serius.