Anda di sini!
Utama > Hiburan > Elly Mazlein Selamat Bertunang

Elly Mazlein Selamat Bertunang

KUALA LUMPUR, Penyanyi dan pelakon popular, Elly Mazlein, bakal melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya yang juga seorang guru, Mohamad Azlan, 29, pada 17 Januari depan.

Elly atau nama lengkapnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, memaklumkan perkara itu pada majlis pertunangannya yang berlangsung penuh gemilang di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, tengah hari tadi.

Dia yang anggun dalam persalinan hijau pastel rekaan Jimmy Couture bersyukur segala perancangan yang diatur berjalan lancar, sekali gus meninggalkan memori terindah buat dirinya dan bakal suami.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana majlis ini berjalan lancar seperti dirancang. Saya terharu apabila melihat wajah kesayangan turut hadir memeriahkan permulaan hari bermakna dalam hidup saya ini.

“Doakan juga semoga segala urusan kami menuju ke gerbang perkahwinan dipermudahkan Allah. Memandangkan ini perkahwinan pertama suami, saya mahu setiap majlis menjadi kenangan terindah buat kami berdua,” kata pengacara Mentor Milenia 2019 itu.

Sebagai tanda ikatan, bakal ibu mentuanya, Zaitun Abdullah menyarungkan sebentuk cincin pada jari manis penyanyi yang popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu.

Pada majlis yang dihadiri hampir 200 tetamu itu, pihak lelaki turut menghadiahkan lima dulang hantaran, berbalas tujuh.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Indah Ruhaila dan Siti Sarah.

Terdahulu, Elly membuat pengakuan sedang dilamun cinta dengan jejaka berasal dari Kelantan dan merancang untuk mendirikan rumah tangga, tahun depan.

Dia yang menggelarkan tunangnya sebagai ‘Papa Awan Nano’ bagaimanapun, masih belum bersedia mendedahkan wajah lelaki itu dan memilih berbuat demikian pada malam berinai, bulan depan.

Elly sebelum ini, mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Azmi Hatta pada 9 November 2014 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Sara Sefhia, namun bercerai pada 15 Oktober 2015.

Leave a Reply

Top