Anda di sini!
Utama > Hiburan > Ella Cabar Diri Nyanyi Lagu Asli

Ella Cabar Diri Nyanyi Lagu Asli

Ratu Rock Negara, Ella, akan menampilkan kelainan dalam Konsert Ella Unplugged In KL apabila menampilkan segmen lagu Melayu Asli.

Konsert yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya dari 29 hingga 31 Mac itu turut menggabungkan 15 pemuzik tradisional dan moden dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Saya cabar diri mempersembahkan tiga hingga lima lagu Melayu Asli termasuk zapin dengan diiringi kumpulan penari Yayasan Warisan Johor.

“Saya mahu buktikan kepada peminat, selain rock, saya juga mampu membawakan lagu Asli kerana ia memang minat saya.

“Senarai lagu masih dalam pemilihan dan satu daripadanya adalah Jauh Di Mata yang pernah saya rakamkan dalam album, Ilham Bicara,” katanya.

Bakal mempersembahkan hampir 24 lagu dalam konsert selama satu jam setengah itu, pemilik nama sebenar, Nor Zila Aminuddin berkata, setiap malam akan menampilkan segmen istimewa.

Menyedari peminat tegar mengharapkan dia membawakan lagu popularnya, Ella berkata, dia akan turut mempersembahkan lagu daripada album baharu, Peace Love Rindu yang dipasarkan tahun lalu.

“Saya cuba berikan lagu yang peminat mahu dengar. Bukan mudah untuk menyanyi secara akustik dan saya perlu memilih lagu yang sesuai, contohnya Kabus dan Sirna.

“Menyanyi lagu Asli membuatkan saya tidak tidur malam kerana saya tidak biasa mempersembahkannya.

“Saya yang meminta supaya segmen ini diadakan kerana sudah jarang kita mendengar lagu Melayu Asli yang indah seperti Tak Seindah Wajah yang pernah dipopularkan Allahyarham Tan Sri SM Salim,” katanya.

Mengakui faktor usia turut memberi cabaran dari segi tenaga, Ella berkata, dia menitikberatkan soal pemakanan dan stamina dengan melakukan rutin senaman.

“Saya sudah mula kurangkan minuman bergula, selain menjaga pemakanan. Begitu juga minuman sejuk, saya cuba elakkan.

“Saya banyak bersenam di gimnasium dan berjoging untuk mendapatkan stamina supaya saya kekal bertenaga di atas pentas nanti,” katanya.

Sebahagian daripada jualan tiket yang akan bermula pada 2 Januari ini menerusi www.proticket.com.my akan disalurkan kepada Yayasan Autisme Malaysia.

Leave a Reply

Top