MH Online

Laman Suara Rakyat

Ekonomi Malaysia Mampu Pulih Tahun Hadapan

Ekonomi Malaysia Mampu Pulih Tahun Hadapan

BATU KAWAN, Kerajaan optimis keadaan ekonomi negara mampu pulih dan meningkat pada tahun hadapan sekiranya pandemik COVID-19 dapat ditangani serta diuruskan dengan baik.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika ini beberapa petanda awal pemulihan ekonomi dapat dilihat khususnya melalui penurunan kadar pengangguran negara daripada 5.3 kepada 4.9 peratus, selepas pembukaan semula semua sektor ekonomi pada 4 Mei lalu.

Pemberian bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diperkenalkan kerajaan juga membantu dalam usaha pemulihan ekonomi ini.

Kadar pengangguran yang turun apabila industri membuka peluang pekerjaan adalah satu petanda yang bagus terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain itu, eksport negara juga mencatatkan perkembangan 8.8 peratus pada Jun kepada RM82.9 bilion.

“Indeks Pengeluaran Perindustrian pula meningkat 18.2 peratus pada Mei, serta sektor pembuatan dan elektrik masing-masing mencatatkan lonjakan 25.9 dan 13.7 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat semi-konduktor elektrik dan elektronik Vitrox Campus 2.0 di sini, semalam.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan percaya pemulihan ekonomi dapat dicapai tahun hadapan sekiranya momentum positif ini dapat dikekalkan pada suku ketiga dan suku keempat, bergantung cara negara menangani COVID-19.

“Negara mencatat pertumbuhan 0.7 peratus pada suku pertama tahun ini, namun kita sedia maklum suku kedua memang mencabar apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan aktiviti ekonomi hanya dibuka semula 4 Mei lalu.

“Apa pun laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua bakal diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Ogos ini,” katanya .

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan kini giat mendapatkan maklum balas dan cadangan masyarakat serta industri bagi Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan November ini.

Beliau melahirkan harapan Belanjawan dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) akan turut membantu merancakkan ekonomi, sekali gus memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi negara.