MH Online

Laman Suara Rakyat

Ekonomi Digital Penyumbang Utama KDNK

KUALA LUMPUR, Ekonomi digital yang merupakan antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencapai sasaran lebih 20 peratus sebelum 2020 berbanding 18.2 peratus pada 2016.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata sejajar dengan pertumbuhan pesat ekonomi digital negara, pelbagai inisiatif dan program dilaksanakan di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Antara program yang dilaksanakan termasuk merakyatkan ekonomi digital kepada golongan sasaran seperti golongan belia, usahawan kecil termasuk di bawah kumpulan B40 dan M40.”

“Di bawah program merakyatkan ekonomi digital, kerajaan melaksanakan program e-Usahawan dan e-Rezeki bagi membantu rakyat menjana pendapatan tambahan secara digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk T. Mohan yang bertanya mengenai tugas dan tanggungjawab utama MDEC dalam memberangsangkan ekonomi negara serta bantuan yang disampaikan oleh MDEC untuk syarikat-syarikat milik penuh warga tempatan khasnya.

Jailani berkata bagi program e-Usahawan, sejumlah 102,269 usahawan muda dan desa telah mengikuti latihan dan kursus e-Usahawan.

“Daripada jumlah usahawan tersebut, sebanyak 25,792 peserta melaporkan jualan tambahan keseluruhan berjumlah lebih RM175 juta.”

“Bagi Program e-Rezeki pula, sebanyak 151,198 individu dilatih melalui pusat dan wakil e-Rezeki di seluruh negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 62,790 individu berjaya menjana pendapatan dengan nilai terkumpul keseluruhan berjumlah RM101 juta,” katanya.