KUALA LUMPUR, Dua rakan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar pelbagai jenis dadah seberat 123.052 kilogram, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Ong Cheng Yaw, 33, dan San Kim Huat, 38, selepas mendapati kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya tanpa sebarang keraguan munasabah bagi keempat-empat pertuduhan terhadap Ong, seorang jurujual, dan San, deejay kelab malam.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, Ong dan San didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 95.016 kilogram, methylenedioxymethamphetamine (MDMA-ekstasi) seberat 26.791 kilogram dan ketamine seberat 1.245 kilogram.

Ong dan San, yang diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh, dituduh melakukan semua perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Denai Selatan, Desa Park City, Kepong di sini pada 6.25 petang, 12 Mei 2015 mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zalina Awang@Mamat.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 21 Feb 2017.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *