MH Online

Laman Suara Rakyat

E-Hailing Digalakkan Promosi Kepada Pelanggan Pusat Hiburan

E-Hailing Digalakkan Promosi Kepada Pelanggan Pusat Hiburan

KUALA LUMPUR, Syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab, digalak membuat promosi secara besar-besaran untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pelanggan di pusat hiburan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ia adalah antara usaha boleh dilakukan bagi mengekang isu pemandu mabuk di negara ini.

Katanya, perkhidmatan seumpama itu akan membolehkan individu mabuk tidak memandu sendiri, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa kepada orang lain.

“Kita galakkan supaya Grab merancakkan kempen guna perkhidmatan mereka. Kita akan guna kempen ini secara besar-besaran,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak bercadang mewajibkan pengusaha pusat hiburan menggunakan alat pengukur kandungan alkohol untuk tujuan saringan kepada semua pelanggannya.

“Memang ada kesedaran mereka (pengusaha pusat hiburan), ada yang sudah beli alat pengukur alkohol. Kita tidak mewajibkan mereka, yang penting mereka yang mengambil minuman keras tidak boleh memandu.

“Itu kita sudah syaratkan dalam kempen kita supaya tidak kira siapa pun mereka, semuanya dinasihat patuh kepada Akta 333 (Akta Pengangkutan Jalan 1987),” katanya.

Menjawab soalan asal Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin), Ka Siong berkata, pihaknya sudah mengarahkan agensi utama termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menggiatkan program pendidikan keselamatan jalan raya.

“Dalam pelaksanaan program sebegini, saya minta semua pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pengusaha premis minuman dan makanan, pengendali perkhidmatan pengangkutan awam untuk bekerjasama dengan kementerian bagi menjayakan usaha ini.

“Saya percaya pelbagai program, kemudahan dan inisiatif boleh diadakan dengan jayanya dengan sokongan dan pembabitan semua pihak,” katanya.