Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Dulu Suri Rumah, Kini Usahawan Berjaya

Dulu Suri Rumah, Kini Usahawan Berjaya

Bermula dengan sekadar ‘suka-suka’ menjual makanan tradisional lima tahun lepas, seorang suri rumah kini bergelar usahawan berjaya setelah menikmati pelbagai bantuan daripada kerajaan.

Noratizam Abdul Latif, 48, berkata pada mulanya beliau menghasilkan dan menjual makanan tradisional seperti rempeyek, dodol dan kerepek secara kecil-kecilan di rumahnya dan pelanggan pula hanyalah kalangan penduduk kampungnya di Kampung Batu Papan, di sini.

“Pada waktu itu saya hanya ‘suka-suka’ menggunakan kemahiran menghasilkan makanan tradisional yang dimiliki. Di samping itu, ada juga niat untuk membantu suami yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu. Adakalanya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga.”

“Modal pada waktu itu hanya RM500 sahaja. Semua saya buat sendiri jadi tidak dapat menghasilkan banyak produk. Jualan pun tidak seberapa,” dipetik sebagai berkata.

Ibu kepada tiga anak itu berkata bagaimanapun, kehidupan diri dan keluarga berubah selepas menerima bantuan pembangunan usahawan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berjumlah RM15,000 tahun lepas.

Noratizam menggunakan bantuan tersebut sebagai modal untuk menaik taraf bengkel dan membeli peralatan bagi membolehkannya menghasilkan produk makanan dengan kuantiti yang lebih banyak.

Kini, beliau bukan sahaja mampu menggaji enam pekerja untuk membantu tugasan di bengkel, malah produknya juga mula dipasarkan di pasar raya di seluruh Pahang.

Tuah sama turut dirasai seorang pengusaha seni ukiran kayu, Zarina Abu Samah, 54, apabila kehidupannya berubah selepas menerima bantuan RM40,000 daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (dahulu dikenali Kementerian Pembangunan Luar Bandar) pada 1991 untuk membeli mesin dan peralatan ukiran kayu.

“Pada waktu itu ramai yang mempertikaikan kenapa saya memilih bidang ukiran kayu dan bukan perniagaan makanan seperti suri rumah lain, namun mujurlah kerajaan menyokong cita-cita saya memartabatkan seni ukiran Melayu dengan memberi bantuan untuk mengembangkan perusahaan ini,” katanya.

Beliau turut menerima bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) sebanyak RM10,000 daripada Risda pada 2014 bagi menaik taraf bengkelnya di Kampung Bangau Tanjung, Temerloh.

Penerima Anugerah Tokoh Usahawan Negeri Pahang pada 2012 itu kini sering menerima tempahan daripada jabatan kerajaan, syarikat swasta dan orang perseorangan di seluruh negara serta menjana pendapatan hingga RM20,000 sebulan.

Seorang anak muda yang juga penggunting rambut Mohd Faiz Abdul Hamid, 27, turut diberi premis untuk menjalankan perniagaan menggunting rambut di Pekan Bera oleh Risda menerusi program pembangunan usahawan pada Julai tahun lepas.

Beliau yang mula mengambil upah menggunting rambut di rumahnya sebagai pendapatan sampingan sejak berusia 15 tahun berkata pendapatannya kini melonjak hingga RM2,000 sebulan setelah memiliki premis sendiri dan mampu dijadikan pendapatan utama.

“Sebelum ini saya dapat RM200 hingga RM300 sahaja sebulan. Pendapatan pun tidak seberapa dan terpaksa melakukan pelbagai kerja seperti menjual minyak rambut tetapi dengan bantuan yang diberikan kerajaan menerusi KKLW ini, kehidupan kami mula berubah,” katanya.

Bernama

Leave a Reply

Top