MH Online

Laman Suara Rakyat

Dua Anggota Polis, Seorang Datuk Seri Direman

Dua Anggota Polis, Seorang Datuk Seri Direman

KUALA LUMPUR, Seorang lelaki bergelar Datuk Seri dan dua anggota polis direman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) bagi membantu siasatan berhubung kes judi.

Perintah reman selama 21 hari yang bermula hari ini sehingga 3 November depan itu dikeluarkan terhadap ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 34 dan 39 tahun, oleh Majistret S Mageswary mengikut Akta pencegahan jenayah POCA Seksyen 4 (1)(a) 1959.

Terdahulu peguam Loi Yap Loong dan Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili ketiga-tiga suspek memohon mahkamah membenarkan anak guamnya ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Permohonan itu dibuat atas alasan masalah kesihatan termasuk memudahkan proses siasatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin, tidak membantah permohonan itu.

Sebelum ini, media melaporkan tiga individu termasuk dua anggota polis yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditahan semula bagi membantu siasatan kes perjudian di Cheras.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid memaklumkan polis akan menahan semula tiga individu selepas mahkamah menolak perintah reman terhadap mereka yang ditahan berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian.

Pada 3 Oktober lalu, seorang individu bergelar Datuk Seri dipanggil SPRM bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.

Selain suspek, tiga ahli perniagaan direman berkaitan kes sama selepas lima individu bergelar Datuk Seri dan Datuk ditahan SPRM.