Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Dron Kesan Suhu Badan Penduduk Dari Udara

Dron Kesan Suhu Badan Penduduk Dari Udara

KUALA TERENGGANU, Dua unit dron yang melakukan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Dungun bukan sahaja bertindak mengesan pergerakan penduduk, malah mampu mengesan suhu badan setiap penghuni rumah di tiga kampung iaitu Tok Kah, Teluk Lipat dan Sungai Buaya.

Kawalan ketat di tiga kampung terbabit yang mempunyai populasi penduduk hampir 4,000 orang dilakukan sebagai langkah mencegah penularan wabak COVID-19 di kawasan itu dan dilaksanakan sejak Khamis lalu.

Langkah itu diambil susulan kes positif COVID-19 di kampung terbabit yang sudah mencecah seramai 30 orang dan dikategorikan sebagai zon jingga.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata bantuan daripada unit dron Bukit Aman itu banyak membantu anggota keselamatan yang menjalankan tugas kawalan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di tiga kampung terbabit.

“Selain memantau pergerakan penduduk, dron yang mampu berada selama tiga hari di udara itu dan dilengkapi dengan alat pengesan suhu badan juga boleh mengesan suhu badan penduduk yang berada di dalam rumah masing-masing.

“Jika mendapati ada isi rumah yang suhu badannya mencecah 37.5°C atau lebih, dron akan melalukan penerbangan rendah menghampiri kawasan rumah terbabit bagi mengesan suhu badan secara terperinci,” dipetik sebagai berkata.

Katanya, jika suhu badan yang direkodkan alat pengesan tidak berubah, unit pengendali dron akan menghantar laporan kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang kemudian menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, berdasarkan laporan itu, anggota dan kakitangan Jabatan Kesihatan akan ke rumah penduduk terbabit untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara terperinci.

Bagaimanapun katanya, pihaknya belum lagi menerima sebarang laporan kes daripada unit kawalan dron yang kini memasuki hari ketiga.

“Malah Op COVID di tiga kampung berkenaan terkawal dan hanya 2.5 peratus daripada mereka masih gagal mematuhi arahan PKP apabila keluar dengan alasan remeh seperti membeli makanan dan urusan bank,” katanya.

Roslee berkata, pihaknya menambah sebanyak 16 SJR bagi memperketatkan kawalan di tiga kampung terbabit dan hanya satu laluan utama sahaja dibuka untuk penduduk keluar masuk di setiap kampung.

Leave a Reply

Top