Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > DreamEDGE Bangunkan Kereta Nasional Ke-3

DreamEDGE Bangunkan Kereta Nasional Ke-3

CYBERJAYA, Kereta nasional baharu yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dibangunkan syarikat penyelidikan dan pembangunan tempatan yang berpangkalan di sini, DreamEDGE Sdn Bhd (DreamEDGE) dengan sokongan teknologi daripada syarikat Jepun, Daihatsu Motor Company.

Kereta nasional baharu itu dijangka menggunakan model sedan segmen C dengan teknologi hibrid.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking, berkata model pertama kereta nasional baharu itu akan dilancarkan pada Mac 2021 manakala model prototaip sepenuhnya akan diumumkan pada Mac tahun depan.

Beliau berkata, kereta nasional baharu itu akan menggunakan teknologi baharu dan akan ditawarkan pada harga yang berpatutan.

“Pemilihan DreamEDGE dibuat berdasarkan kepakaran yang dimiliki mereka dalam pembangunan teknologi baharu berkaitan automotif.

“Daihatsu akan memberi sokongan teknologi dalam beberapa bidang berkaitan seperti penyediaan platform dan pembangunan enjin. Selain itu ia turut membolehkan pemindahan teknologi dan kepakaran antara dua syarikat itu.

“Objektif kereta nasional baharu adalah membangunkan teknologi baharu yang jimat tenaga dan menggunakan sistem hibrid yang mana syarikat ini memiliki kepakaran untuk melaksanakannya,” katanya pada sidang media mengumumkan pembangun projek kereta nasional ketiga di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari.

Mengulas lanjut, Darell berkata, pembangunan model kereta nasional baharu itu dibangunkan sepenuhnya oleh DreamEDGE tanpa bantuan dana daripada kerajaan.

Katanya, ia dibiayai sepenuhnya melalui pelaburan swasta namun syarikat itu boleh memohon geran daripada kerajaan.

Bagaimanapun, ketika ditanya berhubung nama jenama dan model kenderaan serta cadangan harga jualan, Darell berkata, ia masih dalam perbincangan dan akan diumumkan kelak.

Sementara itu, Khairil Adri berkata, pembangunan projek itu menggunakan sepenuhnya dana daripada DreamEDGE bernilai beberapa ratus juta ringgit dan pihaknya masih meninjau pelaburan baru.

“Kami menjalin kerjasama dengan Daihatsu dalam perkongsian teknologi tanpa membabitkan sebarang pegangan ekuiti daripada syarikat itu.

“Ia adalah inisiatif sepenuhnya pihak kami sebelum mengusulkan kepada kerajaan sekitar enam bulan lalu.

“Ada beberapa jenis model yang sedang dipertimbangkan namun perincian berhubung perkara itu akan diumumkan kelak,” katanya.

Leave a Reply

Top