Anda di sini!
Utama > Ekonomi > DRB-Hicom Sedang Berunding Dengan 2 Jenama Antarabangsa

DRB-Hicom Sedang Berunding Dengan 2 Jenama Antarabangsa

MELAKA, DRB-Hicom Bhd sedang mengadakan perbincangan dengan dua jenama kereta antarabangsa untuk memasang kenderaan mereka menerusi anak syarikatnya, Hicom Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar, bagaimanapun enggan mendedahkan nama jenama berkenaan kerana ia masih dalam peringkat perbincangan.

“Kami sedang dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan ini (pemasangan dan pengeluaran kenderaan) kerana ia adalah perniagaan yang bagus dan kami percaya Hicom Automotive mampu mengendalikannya dengan baik.

“Bagaimanapun saya tidak boleh memberitahu apakah dua jenama ini. Dan ia bukan Audi,” katanya pada taklimat media sempena DRB-HICOM Media Escapade 2019 di di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Korporatnya, Datuk Jezilee Mohamad Ramli; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Holdings Bhd, Datuk Radzaif Mohamed; CEO Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM), Shamsuddin Mohd Yusof; CEO PUSPAKOM, Mohammed Sukor Ismail dan CEO Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), Roslan Roskan.

Hicom Automotive ketika ini memasang Volkswagen Tiguan, Passat, Vento, Jetta dan Polo Hatchback serta Mercedes Benz S-Class, E-Class, GLC dan C-Class di kilangnya di Pekan, Pahang.

Ia juga adalah syarikat pertama luar dari Jerman yang memasang Mercedes Benz S-Class.

Dalam perkembangan lain, ditanya berhubung prestasi Proton Holdings, Syed Faisal, berkata syarikat automotif itu menunjukkan peningkatan memberangsangkan terutama penjualan model baharu X70.

Katanya, sehingga Mac lalu Proton menyerahkan lebih 9,900 unit X70 kepada pelanggan dan telah menerima 25,000 tempahan setakat ini.

“Proton yakin dengan jualan X70 dan akan ada lebih banyak model berasaskan Geely yang akan diperkenalkan di pasaran dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

Berhubung kehadiran Proton di luar negara, Syed Faisal berkata, pihaknya masih menjalankan kajian daya maju dan kajian pasaran terhadap rancangan pengedarannya di Mesir dengan rakan tempatan Alpha Group Ezz Elarab.

Katanya, Mesir yang mempunyai banyak hubungan dagangan dengan negara di rantau itu berpotensi mewujudkan peluang sebagai gerbang untuk pengembangan Proton di luar negara.

“Di Pakistan pula, pasaran di negara ini adalah meluas kerana kadar pemilikan kereta di sini masih rendah, iaitu 17 kereta untuk setiap 1,000 penduduk berbanding di Malaysia 350 kereta bagi setiap 1,000 penduduk,” katanya.

Leave a Reply

Top