Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) sedang menyiapkan draf awal cadangan penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, berkata kerangka draf akan diusahakan siap minggu ini untuk diserahkan kepada Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) berhubung perkara itu.

“Seperti sedia maklum, PDEA adalah satu daripada 32 cadangan dikemukakan bagi menyelesaikan isu pengurusan kewangan parti politik dengan mewujudkan Pejabat Pengawal Pembiayaan Politik.

“Kabinet melantik institut kami sebagai sekretariat melalui kerjasama beberapa agensi yang mempunyai jabatan perundangan untuk membentuk draf berkenaan sebelum akta digubal kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Integriti di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, hari ini.

Usul JKNMPP dibentang kepada Kabinet baru-baru ini yang menuntut ketelusan lebih tinggi daripada parti politik berhubung perkara derma politik.

Usul itu memperincikan tiga bidang utama yang menjadi pengenalan PDEA yang bakal menjadi usaha dalam menangani isu yang lebih luar dan berjangka panjang.

Akta baharu juga akan meningkatkan dan menambah baik undang-undang sedia ada, termasuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009; Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957; Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954; Akta Pertubuhan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Anis Yusal berkata, ketika cadangan berhubung pembiayaan dana politik dikemukakan, ada pihak tidak bersetuju, namun akur selepas melihat ia dapat memberi kebaikan kepada negara sekali gus menjadikan parti politik lebih berintegriti.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya menjalin kerjasama dengan USM untuk membangunkan mekanisme baharu dengan memperkenalkan Sijil Pematuhan Integriti dan Tanggungjawab Sosial (ISR).

“ISR bertujuan memastikan syarikat termasuk di luar bandar mematuhi garis panduan berdasarkan kajian USM dan kami.

“Ia bagi menetapkan standard dan nilai integriti tersendiri dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *