Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Draf Bayaran Balik PTPTN Siap Dalam Tempoh 6 Bulan

Draf Bayaran Balik PTPTN Siap Dalam Tempoh 6 Bulan

DUNGUN, Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memerlukan tempoh enam bulan untuk menyiapkan draf pembayaran balik pinjaman tabung berkenaan sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, berkata pihaknya sedang giat mendapatkan maklumat berkaitan.

Beliau berkata, pihaknya dalam proses mengadakan perjumpaan dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan untuk mendapat maklumat.

“Langkah itu bagi memastikan pelaksanaan kaedah baharu itu nanti adil, tidak menimbulkan polemik serta mengambil kira semua aspek kebajikan peminjam,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pakaian Sekolah kepada 1,000 penerima di Dewan Aspirasi Universiti Teknologi Mara UiTM Kampus Dungun, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Terengganu, Datuk Razali Idris serta Ketua BERSATU Dungun, Mohamad Arif Arifin.

Wan Saiful berkata, beliau sudah turun ke Kedah, Perlis, Perak dan hari ini di Terengganu untuk mengumpul maklumat berkaitan PTPTN.

“Kita turun untuk berjumpa semua pemegang taruh di peringkat akar bumi untuk mendapatkan maklumat.

“Kita akan dengar semua pandangan yang diberikan berhubung penambahbaikan (skim bayaran balik) yang akan dilaksanakan nanti dan rumusan kepada input akan mengambil masa paling awal enam bulan untuk disiapkan,” katanya.

Katanya, pihaknya memberi jaminan pandangan serta cadangan daripada semua pihak itu nanti akan diambil kira dalam kajian itu.

“Sebelum ini, kita terpaksa hantar cadangan penambahbaikan itu (skim bayaran balik) dengan tergesa-gesa dalam tempoh 100 hari untuk mengejar janji manisfesto,” katanya.

Wan Saiful berkata, keadaan itu menyebabkan berlaku kekangan masa dan kekurangan pada skim bayaran balik yang cuba dilaksanakan pada 5 Disember tetapi terpaksa ditangguhkan kerajaan apabila mendapat bantahan rakyat.

“Kita berjanji akan memperkenalkan kaedah pembayaran balik yang terbaik tanpa menyusahkan mana-mana pihak, “katanya.

Leave a Reply

Top