Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas tindakan sekumpulan aktivis yang memulakan prosiding undang-undang untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menahan dan mengusir pendakwah terkemuka, Dr Zakir Naik dengan menyifatkan ia sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Mufti Perlis itu juga berpandangan, adalah sesuatu yang tidak pelik jika tindakan itu dilakukan golongan bukan Islam.

“Tidaklah pelik jika mereka itu dari kumpulan bukan Muslim atau kafir yang tidak suka dengan dakwah.

“Namun yang pelik jika ada yang mendakwa diri mereka Muslim tetapi meminta supaya tokoh pendakwah Islam yang terkenal dengan hujahnya itu ditangkap,” katanya di laman Facebook, Rabu.

Satu prosiding undang-undang terhadap kerajaan dan empat yang lain untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan pendakwah Dr Zakir sebagai ancaman kepada keselamatan negara telah dibuat pada Rabu.

Plaintif terdiri daripada peguam, aktivis hak asasi manusia, ahli perniagaan dan juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dan juga pengerusi Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).

Mereka yang lain termasuklah aktivis Dr Lim Teck Ghee, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dari Parti Solidariti Tanah Airku Sabah dan peguam Siti Zabedah Kassim.

“Apakah bukti dia mengancam? Apakah hanya kerana ada hindu yang menganut Islam lalu mereka ini begitu sensitif? Atau apakah alasan yang lain?,” tulisnya.

Kumpulan aktivis tersebut, dalam alasan yang diberikan menyatakan bahawa Dr Zakir adalah orang yang berbahaya yang boleh menjejaskan perpaduan negara, toleransi dan hubungan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

Plaintif menamakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Jabatan Ketua Pengarah Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *