Anda di sini!
Utama > Ekonomi > DPMM Harap Kerajaan Baru Perkasa Ekonomi Bumiputera

DPMM Harap Kerajaan Baru Perkasa Ekonomi Bumiputera

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berharap kerajaan dapat mengemukakan hala tuju baharu bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Presidennya, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata kebimbangan usahawan Bumiputera sejak 15 tahun lepas juga tidak ditangani dengan tepat oleh kerajaan sebelum ini.

“Walaupun penglibatan antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dijalankan sebelum ini, ia lebih banyak bersifat sehala dan suara kami kurang didengari kerana rundingan itu tidak membabitkan kami secara penuh.

“Sehubungan itu, kami berharap dengan kehadiran semula Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri baharu, kami sekali lagi dapat menyaksikan kebangkitan ramai tokoh korporat Melayu dan Bumiputera yang berjaya sepertimana disaksikan pada era pemerintahan beliau sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Rizal Faris berkata sebagai contoh, DPMM beserta lebih 100 NGO telah membangkitkan bantahan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik kerana proses rundingan dan perbincangan yang didakwanya tidak membabitkan sebarang analisis kos faedah.

“Kami amat kecewa kerana semua persoalan kami tidak dijawab dan pihak yang mewakili kami dalam rundingan itu tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Rizal Faris juga berharap kerajaan akan memberi tumpuan konsisten terhadap agenda pembangunan ekonomi Bumiputera bagi memastikan golongan itu turut maju setanding dengan komuniti lain.

“Ketika semua pihak gigih berusaha agar seiring dengan revolusi perindustrian keempat (Industri 4.0), kami berharap kerajaan baharu itu akan terus membabitkan kami dalam platform strategik seperti majlis-majlis ekonomi.

“Ini akan membolehkan kami untuk turut sama bekerja mengenal pasti bakat-bakat tempatan selain mempertingkatkan kemampuan usahawan tempatan dan seterusnya menghasilkan semula lebih banyak syarikat-syarikat terkemuka,” katanya.

Terdahulu, Rizal Faris mengucapkan tahniah di atas pelantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh iaitu jawatan yang disandang untuk kali kedua.

Leave a Reply

Top