Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Dira Akui Rindu Terhadap Dunia Lakonan

Dira Akui Rindu Terhadap Dunia Lakonan

Kerinduan terhadap dunia lakonan tidak pernah bernoktah dalam diri pelakon dan pengarah, Dira Abu Zahar, namun tanggungjawab besar terhadap negara mendesaknya membuat pilihan terbaik.

Ketika ini, kata Dira, 34, fokusnya lebih terarah kepada dunia politik kerana percaya, pembabitannya akan membuka laluan untuk memperjuangkan pelbagai isu berbangkit yang menyelubungi industri hiburan.

“Untuk kembali berlakon, mungkin tidak. Lagipun, sekarang ramai bakat baharu yang saban masa muncul mewarnai dunia lakonan. Mungkin sudah tiba masa untuk saya memberi pula perhatian kepada masyarakat.

“Saya anggap pembabitan dalam dunia politik sebagai platform untuk memperjuangkan hak anak seni. Memang rindu untuk berlakon, tetapi masa saya terbatas.

“Minat itu saya salurkan dengan menerbitkan drama dan filem menerusi syarikat produksi saya, Hyper Pictures Sdn Bhd,” katanya.

Pelakon filem Longkai itu mengakui, antara sebab dia membabitkan diri dalam dunia politik adalah menyambung legasi bapanya yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin.

Dira berkata, usaha arwah yang tidak pernah berhenti membantu masyarakat selain menaikkan martabat Melayu ketika hayatnya membuatkan dia tertarik untuk mengikut jejak langkah ayahnya.

“Saya semakin serius dengan politik selepas dilantik menjadi Exco Puteri UMNO Tangga Batu, Melaka. Lagipun, ia bukan sesuatu yang baharu kerana saya dibesarkan dalam keluarga yang aktif dalam politik.

“Ia sudah sebati dalam diri saya, cuma mungkin sudah takdir, saya terlebih dahulu menjadi anak seni. Dari situ, saya mengumpul pelbagai pengalaman mengumpul kenalan dan belajar melayani pelbagai kerenah masyarakat,” katanya.

Tambah Dira, dia juga mahu mengikut cara arwah bapanya yang sentiasa mendekati masyarakat dengan penuh diplomasi dan ikhlas.

“Arwah ayah adalah bekas guru sebelum aktif di bidang politik. Caranya mendekati rakyat membuatkan saya kagum kerana arwah jujur dan telus ketika bekerja.

“Kalau boleh saya mahu mengikut cara arwah mengendalikan sesuatu situasi dan sentiasa memikirkan bagaimana untuk memajukan bangsa Melayu dari segi pendidikan dan peluang pekerjaan.” katanya.

Leave a Reply

Top