Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Dipenjara Kerana Facebook

Dipenjara Kerana Facebook

KAHERAH, Seorang pelancong wanita Lubnan dipenjara lapan tahun kerana memuat naik video di Facebook mengadu mengenai gangguan seksual serta ‘keadaan buruk’ di Mesir, kata peguamnya kepada Reuters.

Mona el-Mazboh ditahan di lapangan terbang Kaherah pada akhir percutiannya di Mesir selepas memuat naik video sepanjang 10 minit menggunakan kata makian mengenai negara itu yang menjadi tular di media sosial.

Wanita berusia 24 tahun itu mengadu kerap diganggu seksual oleh pemandu teksi dan lelaki di jalanan, selain menyelar perkhidmatan restoran buruk ketika Ramadan, selain satu kejadian wangnya dicuri pada percutian sebelumnya.

Mahkamah Kaherah mendapatinya bersalah sengaja menyebarkan khabar angin palsu yang mampu menggugat masyarakat, menyerang agama serta perlakuan tidak senonoh di khalayak ramai, kata sumber kehakiman.

Mahkamah rayuan akan mendengar kes itu pada 29 Julai ini, kata peguamnya Emad Kamal.

“Hukuman itu agak tinggi. Walaupun dalam peruntukan undang-undang, mahkamah mengenakan penalti maksimum.

“Mona menjalani pembedahan pada 2006 untuk membuang darah beku dalam otak, menyebabkan dia tidak dapat mengawal marah, dan perkara itu dinyatakan dalam laporan perubatan yang dikemukakan kepada mahkamah. Dia juga mengalami kemurungan,” katanya. – Reuters

Leave a Reply

Top