Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Dipenjara 4 Bulan Ingkar Arahan PKP

Dipenjara 4 Bulan Ingkar Arahan PKP

KLANG, Tindakan seorang lelaki menunggang motosikal tanpa sebarang tujuan dan cuba meloloskan diri, dalam sekatan jalan raya Ops COVID-19 di Jalan Hulu Langat, di sini membawa padah, apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Majistret Syahrul Sazli Md Sain menjatuhkan hukuman terhadap Ahmad Fauzan Jais, 31, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

Pertuduhan membabitkan melanggar sekatan jalan raya dilakukan pihak polis dan menunggang motosikal tanpa sebarang tujuan dalam kawasan jangkitan COVID-19, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak itu dikuatkuasakan.

Bagi kesalahan melanggar sekatan jalan raya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan, manakala hukuman penjara sebulan bagi kesalahan menunggang motosikal tanpa tujuan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam, menjalani kedua-dua hukuman penjara secara berasingan, bermula dari tarikh tangkap pada 24 Mac lalu.

Lelaki itu yang bekerja sendiri didakwa tidak memberhentikan motosikalnya ketika diminta Koperal Haslanni Sabtu, dalam satu sekatan jalan raya Ops COVID-19, di Jalan Hulu Langat-Ampang pada 10 pagi, 24 Mac lalu.

Tertuduh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 12 bulan atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa berada dalam kawasan jangkitan tanpa sebarang tujuan, yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di tempat dan masa sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 7(1) peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sampai enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah, menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam yang melebihi kepentingan peribadi, ketika negara sedang menghadapi masa krisis.

“Hukuman itu diharap dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia, bahawa kerajaan sedang dalam usaha untuk membendung pandemik COVID-19, yang semakin serius,” katanya.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang datang dari arah Bukit Ampang, enggan memberhentikan motosikalnya sewaktu diarahkan pihak polis ketika melalui satu sekatan jalan raya Ops COVID-19.

Malah dia memecut laju dan berlaku kejar-mengejar antara tertuduh dan pihak polis, sebelum lelaki itu terbabas dan berjaya ditangkap.

Leave a Reply

Top