MH Online

Laman Suara Rakyat

DIGI Catat Prestasi Kukuh Pada Suku Ketiga

DIGI Catat Prestasi Kukuh Pada Suku Ketiga

KUALA LUMPUR, Digi.Com Bhd (Digi) mencatat prestasi kukuh bagi tempoh suku ketiga berakhir 30 September 2018, meraih pendapatan perkhidmatan berjumlah RM1.475 bilion.

Syarikat telekomunikasi tempatan itu dalam satu kenyataan, berkata menerusi pendapatan yang positif itu perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) juga mengukuh iaitu RM725 juta atau 46 peratus margin.

“Peningkatan dalam penggunaan data rangkaian kami menjadi penyumbang utama kepada prestasi positif, memacu pertumbuhan merentas perniagaan internet prabayar dan pascabayar, serta perniagaan digital baharu.

“Ia menyumbang kepada peningkatan kepada 11.8 juta pelanggan pada suku dikaji,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Digi berkata, pendapatan internet melonjak 18.4 peratus tahun ke tahun kepada RM817 juta dengan 9.0 juta pelanggan internet menggunakan data purata 9.1 gigabait (GB) setiap bulan.

Pertumbuhan pendapatan pascabayar juga menokok 14.9 peratus tahun ke tahun kepada RM640 juta menerusi asas pelanggan lebih kukuh berjumlah 2.7 juta pelanggan.

“Pendapatan prabayar bagaimanapun, susut 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM835 juta disebabkan persaingan harga data lebih sengit dan permintaan lebih sederhana dalam perkhidmatan suara dan mesej,” katanya.

Menerusi prestasi kewangan bagi tempoh dikaji juga, Digi mencatat keuntungan bersih kukuh kepada RM368 juta dengan 23 peratus margin.

Aliran tunai turut meningkat empat peratus tahun ke tahun kepada RM598 juta atau 38 peratus margin.