Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Didenda RM1500 Kerana Ceroboh Gate KLIA2

Didenda RM1500 Kerana Ceroboh Gate KLIA2

SEPANG, Seorang eksekutif Teknologi Maklumat (IT) di China didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menceroboh kawasan pintu pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), minggu lalu.

Hukuman dijatuhkan Majistret A Akhiruddin@Boy Acho terhadap lelaki warga Bangladesh, Md Anoy Mahmud, 23, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu kira-kira jam 9.52 malam pada 9 Julai lalu dengan memasuki pintu pelepasan P9 klia2 tanpa kebenaran sah.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ingin menaiki pesawat sebuah syarikat penerbangan tambang murah dari Kuala Lumpur ke Dhaka, Bangladesh yang dijadual berlepas pada jam 9.55 malam.

Ketika kejadian, tertuduh dalam perjalanan dari Shanghai, China ke Dhaka dan transit di klia2.

Bagaimanapun, tertuduh hanya tiba di pintu pelepasan pada jam 9.50 malam dan menyebabkan dia tidak dibenarkan menaiki pesawat.

Tertuduh turut didapati cuba memanjat satu tong sampah untuk menceroboh masuk pintu pelepasan, namun usahanya gagal dan lelaki itu kemudian mengaku kepada seorang petugas syarikat penerbangan terbabit bahawa dia cuba memasuki pintu pelepasan dengan memanjat pagar di kawasan berkenaan.

Petugas syarikat penerbangan terbabit kemudiannya membuat laporan polis dan tertuduh kemudiannya ditahan kerana didakwa menceroboh.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Lelaki berkenaan diwakili peguam, Zaflee Pakwanteh, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nasharina Nazlan.

Leave a Reply

Top