Perkara itu disahkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata, beliau sendiri tidak dimaklumkan oleh Mohamed Azmin mengenai perkara itu.

“Apalah nak suruh gaduh hari-hari. Dah dia cakap tidak, tidaklah.

“Saya tidak dengar (Mohamed Azmin) keluar parti, media yang beritahu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Ekonomi Malaysia bertajuk ‘Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan’ di Parlimen di sini.

Turut hadir pada majlis ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohammad Ariff Md. Yusof, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus dan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, wujud desas-desus Mohamed Azmin dijangka keluar daripada PKR dan menyertai Parti Gerakan dalam masa terdekat.

Azmin didakwa mengambil langkah sedemikian berikutan berlaku pergeseran dengan Anwar ekoran tersebarnya video seks songsang yang dikatakan melibatkan dirinya.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik Mohamed Azmin, Hilman Idham pula memberi reaksi kepada media bahawa memang ada hasrat dalam kalangan PKR yang gembira sekiranya Mohamed Azmin meninggalkan parti tersebut, selepas dilihat tidak lagi sebulu dengan Anwar.

Menyedari terdapat kem lain yang tidak gemarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, Hilman percaya fitnah meninggalkan parti itu datang daripada orang yang kalah dan selalu kalah kepada bosnya itu.

Ketika ditanya mengenai 21 ahli PKR Cabang Masjid Tanah termasuk Naib Pengerusinya, Khairudin Ibrahim bertindak keluar parti itu semalam, Anwar bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Tak payahlah (cakap) pasal parti, kita fokus pada simposium,” katanya.