MH Online

Laman Suara Rakyat

Dewan Rakyat Tubuh 9 Jawatankuasa Pilihan Khas & Kumpulan Ahli Parlimen Rentas Parti

Dewan Rakyat Tubuh 9 Jawatankuasa Pilihan Khas & Kumpulan Ahli Parlimen Rentas Parti

KUALA LUMPUR, Jawatan Kuasa Dewan Rakyat bersetuju mewujudkan sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas dan Kumpulan Ahli Parlimen Rentas Parti (APPGM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hasan, berkata dengan keputusan itu, 10 Jawatankuasa Pilihan Khas sedia ada tidak akan diteruskan.

Turut disenaraikan Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur; Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan; Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi; dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial.

Usul penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas itu dikemukakan dalam Penyata Jawatankuasa Dewan yang dibentangkan Takiyuddin, di Dewan Rakyat.

Takiyuddin berkata Jawatankuasa Pilihan Khas itu berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang kepada kementerian.

Katanya, Jawatankuasa Dewan Rakyat juga bersetuju terma rujukan bagi Jawatankuasa Pilihan Khas perlu mengandungi tujuan penubuhan; jumlah keanggotaan – tujuh ahli termasuk Pengerusi dan tempoh pelantikan selama dua tahun atau dua penggal.

“Jawatankuasa Pilihan Khas itu juga berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya untuk mengambil keterangan, fikiran dan pandangan tentang apa-apa yang berkaitan dengan bidang tugas yang dinyatakan dalam terma rujukan jawatankuasa itu serta tertakluk kepada peruntukan yang dinyatakan dalam PeraturanMajlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Seterusnya, laporan atau penyata yang dikeluarkan hasil daripada siasatan ataupun inquiry (dengan izin) oleh sesuatu Jawatankuasa Pilihan Khas hendaklah dibentangkan di dalam Dewan.

“Penyata yang telah dibentangkan boleh dicadangkan untuk dibahas, diterima dan dipersetujui oleh Majlis melalui usul di bawah Peraturan Mesyuarat 86(5), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan Jawatankuasa Dewan juga bersetuju mewujudkan Seksyen Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat di Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia sebagai sekretariat kepada jawatankuasa ini untuk membolehkan ia berfungsi dengan lancar dan berkesan.

Sementara itu, menjawab soalan Fuziah Salleh (PH-KUANTAN) mengenai pengguguran Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar dan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesaksamaan Gender Dan Pembangunan Keluarga, Takiyuddin berkata, jika ada cadangan untuk memasukkan jawatankuasa berkenaan perkara itu boleh dirujuk kepada Pengerusi Jawatankuasa Dewan.

Mengenai jumlah keanggotaan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas yang tidak mengikut nisbah anggota Ahli Parlimen mengikut parti yang dikemukakan Hannah Yeoh (PH -Segambut), Ngeh Kam Hoo (PH-Beruas) dan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh), Takiyuddin berkata amalan itu dilakukan sejak sebelum ini dan tidak ada dalam peraturan untuk mengikut nisbah itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau difahamkan akan ada jawatankuasa di Dewan Rakyat yang akan dipengerusikan oleh pembangkang yang masih dalam perancangan.