MH Online

Laman Suara Rakyat

Dewan Rakyat Bahas Usul Tukar Speaker Dan Timbalan

Dewan Rakyat Bahas Usul Tukar Speaker Dan Timbalan

KUALA LUMPUR, Pembukaan sidang Parlimen, Isnin ini bakal menyaksikan dua usul pertama membabitkan pertukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat II, dibentang serta dibahaskan.

Difahamkan, antara nama yang disebut-sebut bagi menggantikan jawatan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ialah bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun.

Jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat II, yang kini disandang oleh Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming pula dikatakan bakal diambil alih bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, ketika mengesahkan kedua-dua usul itu berkata institusi Parlimen wajar dijaga, walaupun apa yang berlaku ketika sidang mulai 13 Julai ini.

“Kita harus menjaga adab, tatasusila dan keluhuran undang-undang yang termaktub di negara ini.

“Parlimen mempunyai nilai yang tinggi dan sangat berfungsi meskipun berada dalam krisis, justeru pendekatan kerjasama eksekutif dan badan legislatif perlu menjadi lebih utuh ketika krisis.

“Saya melihat pendekatan yang menyeluruh digunakan di Parlimen di seluruh dunia dalam memutuskan pakej ekonomi dan undang-undang dengan pendekatan yang lebih konklusif.

“Sebarang percaturan politik di Parlimen buat masa ini tidak berbaloi kerana tumpuan perbahasan perlu dijuruskan kepada penjelasan daripada kerajaan tentang pakej rangsangan ekonomi secara inklusif, berkesan dan terperinci,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rashid menjelaskan Dewan Rakyat setakat ini menerima lebih 10 usul, dengan kebanyakannya mampu membantu negara menghadapi COVID-19 secara lebih berkesan ketika Malaysia berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, semua usul yang diterima adalah mengikut proses biasa Dewan Rakyat, berdasarkan peruntukan undang-undang, Perlembagaan dan aturan mesyuarat.

“Bagi kedudukan kerusi ahli Yang Berhormat, kita menunjukkannya ketika pembukaan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa penjarakan satu meter mampu dikekalkan.

“Konsep sama akan diteruskan dan semua tempat duduk mencukupi bagi sesi kali ini,” katanya.

Seiring penggunaan dua bangunan baharu yang dinaik taraf dan dibaik pulih sejak 2015, Mohd Rashid berkata, ia kini menempatkan ruang pejabat, perpustakaan, gimnasium, bilik sauna, bilik bincang, bilik mesyuarat, kafeteria serta surau.

Justeru, beliau berharap kemudahan itu berupaya meningkatkan tahap kehadiran ahli Parlimen untuk mengikuti sesi persidangan Dewan Rakyat, selain mengoptimumkan prestasi kerja petugas dan kualiti perbahasan.

“Kemudahan yang diwujudkan ini membolehkan lebih ramai Yang Berhormat (YB) berada di Parlimen dengan lebih kerap dan sepenuh masa konsisten mengikuti persidangan,” katanya.