Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Denda Lebih RM500K Jika Terlibat Skim Wang Kutu

Denda Lebih RM500K Jika Terlibat Skim Wang Kutu

KUALA LUMPUR, Mana-mana syarikat atau perniagaan berdepan tindakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah menganjurkan sebarang kegiatan berbentuk skim wang kutu.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataannya berkata, perkara berkenaan jelas dinyatakan di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 yang melarang mana-mana syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 (atau dahulunya Akta Syarikat 1965) atau perniagaan berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, menjalankan kegiatan perniagaan berkenaan.

“Walau bagaimanapun, skim wang kutu tradisional yang biasanya dianjurkan atas dasar kemasyarakatan dan kepercayaan di kalangan jiran tetangga, sahabat handai, saudara-mara atau rakan kerja bagi tujuan mengumpulkan wang mengikut keperluan masing-masing tanpa sebarang keuntungan bagi mana-mana individu, tidak termasuk dalam Akta ini.

“Ini kerana skim wang kutu tradisional hanya memberikan kembali jumlah yang disumbang mengikut giliran yang ditetapkan,” katanya.
SSM berkata, pihaknya ingin menegaskan bahawa kegiatan wang kutu yang mendatangkan hasil yang berlipat ganda berbanding sumbangan yang diberikan termasuk apa-apa pulangan tambahan selain daripada wang sumbangan asal adalah termasuk dalam kegiatan yang dilarang dan tidak terkecuali dari Akta itu.

“Sebenarnya, antara tujuan utama Akta ini diperkenalkan pada ketika itu adalah untuk memastikan syarikat-syarikat kumpulan wang kutu yang sedia menjalankan kegiatan berkenaan melalui proses penggulungan supaya penyelesai-penyelesai (liquidators) boleh mendapat kembali wang yang tertunggak dari peserta yang sudah menerima bahagian wang kutu mereka.

“Manakala mereka membayar wang yang tertunggak kepada peserta lain yang masih belum menerima bahagian mereka supaya pembahagian yang sempurna dapat dilakukan.

“Selain daripada itu, tujuan akta ini dibentuk adalah untuk menjaga kepentingan orang-orang yang terbabit dalam skim wang kutu itu di mana sebilangan besar daripadanya terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya.

Pihak SSM berkata, terdapat banyak kes di mana peserta berjaya mendapatkan wang tawaran masing-masing, namun gagal atau tidak membayar balik kepada kumpulan wang yang berkaitan, sekali gus menjejaskan hak peserta yang lain.

“Kami sentiasa memantau kegiatan syarikat-syarikat di luar sana supaya tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang yang ditetapkan.

“Kami juga ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan apa-apa penawaran skim pelaburan yang tidak berdaftar bagi mengelakkan sebarang kerugian,” katanya.

Untuk menyemak status pendaftaran sebarang skim, sila layari laman sesawang SSM di www.ssm.com.my atau sila hubungi talian 03-22994499 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Leave a Reply

Top