Anda di sini!
Utama > Sukan > Denda FMLLP Melampau

Denda FMLLP Melampau

Presiden Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), Senator Datuk T. Mohan mempersoalkan tindakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengenakan tindakan tegas terhadap pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran pemain.

Beliau berkata denda RM500,000 dikenakan terhadap enam pasukan Liga Premier, termasuk MIFA kerana kelewatan dalam pendaftaran pemain, tidak masuk akal sedangkan FMLLP sendiri masih belum menunaikan janji membayar peruntukan RM1 juta kepada pasukan yang bertanding dalam liga Divisyen Dua itu.

Mohan turut mahukan FMLLP bertindak adil dengan menjelaskan peraturan-peraturan berkaitan sebelum mengenakan denda sebanyak itu, terutamanya terhadap pasukan seperti MIFA yang hanya mempunyai peruntukan dana kecil.

“Saya rasa denda itu agak keterlaluan untuk pasukan seperti MIFA yang baru sedang mempelajari selok-belok Liga Premier. Lainlah jika kami menerima peruntukan RM5 atau RM10 juta daripada FMLLP. Peruntukan RM1 juta yang dijanjikan sebelum ini pun, masih belum dibayar.

“Kami sudah melengkapkan pendaftaran tetapi hanya lewat hantar dokumen. Kami akan kemukakan rayuan kepada FMLLP. Jika mereka (FMLLP) asyik hendak mendenda sahaja, saya rasa tidak guna kita bentuk pasukan kerana kebanyakan pasukan masih mengalami masalah kewangan.

“Jika mereka mahukan kesempurnaan, mereka harus sempurna dalam segala hal. Mereka mesti mempunyai peraturan menyatakan hukuman yang dikenakan bagi setiap kesalahan dilakukan dan bukan secara tiba-tiba mengenakan hukuman tegas selepas mesyuarat lembaga,” katanya kepada pemberita pada majlis ikrar bebas rasuah dan dadah pasukan Liga Premier dan Piala Presiden MIFA di sini, pada rabu.

Beliau diminta mengulas mengenai hukuman denda, masing-masing RM1.5 juta kepada empat pasukan Liga Super dan RM500,000 bagi pasukan Liga Premier yang gagal melengkapkan dan menghantar dokumen pendaftaran pemain sebelum tarikh tutup pada 3 Feb lepas.

Namun, empat pasukan Liga Super – Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC serta lima pasukan Liga Premier – Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM dan UKM FC -, dibenarkan membuat rayuan kepada FMLLP dalam tempoh 14 hari untuk mengurangkan denda berjumlah RM9 juta itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam yang ditemui pada majlis sama, memberi justifikasi tindakan itu bagi memastikan pasukan terlibat tidak mengulangi kesalahan itu pada masa hadapan, selain insentif diberikan kepada pasukan untuk musim ini lebih tinggi berbanding musim-musim lepas.

“Contohnya, setiap pasukan Liga Super pada musim lalu hanya menerima RM1 juta tetapi menerima RM3 juta kali ini. Jika ditolak denda RM1.5 juta, mereka masih mempunyai baki 50 peratus berbanding tahun lalu. Kita mahukan pasukan-pasukan ini menjadi lebih profesional dan meningkatkan kemahiran pengurusan mereka,” katanya.

Beliau turut menjelaskan hukuman pemotongan mata bagi kesalahan tersebut yang ditangguhkan, hanya akan dilaksanakan jika pihak pengurusan pasukan melakukan sebarang kesalahan, termasuk tidak menghantar dokumen berkaitan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan FMLLP.

“Selepas ini, mereka mempunyai beberapa tarikh penting sehingga akhir Jun berkaitan pelesenan kelab. Pemotongan mata hanya akan dibuat jika mereka gagal menghantar dokumen serta kesalahan lain yang melibatkan pengurusan dan organisasi.

“Pemotongan mata akan dibuat pada waktu pasukan itu melakukan kesalahan tersebut. Sekiranya mereka melakukan kesalahan selepas musim berakhir, hukuman itu akan dilaksanakan pada musim hadapan,” katanya.

Leave a Reply

Top