MH Online

Laman Suara Rakyat

Defisit Fiskal Dijangka Meningkat Sehingga 6%

KUALA LUMPUR, Kerajaan yakin defisit fiskal negara akan dapat diturunkan secara berperingkat dalam jangka masa sederhana.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata defisit fiskal pada tahun ini dijangka meningkat antara 5.8 peratus dan enam peratus, berbanding 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan sebelum ini.

Katanya, semua langkah yang diumumkan dalam pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi negara yang membabitkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM45 bilion adalah bersifat ‘one-off’ dan tidak akan terus membebankan kewangan kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana dan panjang.

“Ini adalah antara strategi kerajaan bagi mengurangkan defisit fiskal dalam jangka masa sederhana secara berperingkat, seterusnya memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara kekal pada paras terkawal.

“Kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan bagi mengukuhkan lagi kedudukan kewangan kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Amiruddin Hamzah (BEBAS-Kubang Pasu) yang bertanya mengenai strategi kerajaan untuk mengembalikan defisit fiskal ke paras tiga peratus dalam tempoh antara dua dan tiga tahun selepas mencapai 6.9 peratus, susulan pengenalan beberapa pakej rangsangan semasa pandemik COVID-19.