MH Online

Laman Suara Rakyat

DBKL Perlu Cari Jalan Selesai Isu Peniaga Tanpa Lesen

DBKL Perlu Cari Jalan Selesai Isu Peniaga Tanpa Lesen

KUALA LUMPUR, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mencari kaedah ‘menang-menang’ bagi menyelesaikan isu peniaga tanpa lesen di sekitar Taman Tasik Titiwangsa, di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata ketika ini, DBKL boleh mempertimbangkan untuk memindahkan peniaga terbabit ke satu lokasi khusus selaras dengan undang-undang ditetapkan.

“Isu ini perlu diberi perhatian. Rakyat mahu cari makan dengan berniaga, kita kena bantu, jangan susahkan mereka.

“Penguatkuasaan peraturan perlu lihat kebajikan rakyat. Kita risau bila mereka tak kerja (berhenti berniaga kerana tiada lesen) nanti ada pula yang mencuri, menyamun.

“Kita kena bantu, cari peluang yang ada. Kita tidak menidakkan usaha dan dasar dikuatkuasakan DBKL yang sudah melakukan kerja dengan baik. Dalam hal ini, sama-sama cari idea jaga rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa lebih 30 minit beramah mesra bersama peniaga di sekitar tasik berkenaan, di sini, petang tadi.

Sebelum ini, tular video yang memaparkan peniaga membantah tindakan anggota penguat kuasa DBKL ketika melakukan operasi penguatkuasaan di Taman Tasik Titiwangsa, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pagi tadi, bagi membincangkan mengenai isu berbangkit.

“Namun, saya tetap turun padang kerana mahu mendengar maklum balas peniaga berkaitan.

“Saya tidak mahu hanya mendengar sebelah pihak, saya mahu gambaran sebenar apa yang berlaku,” katanya.